SPAN melakukan pemotongan air disyaki sambungan bekalan air yang tidak sah selepas menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berhubung kes kecurian air di tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2). FOTO Halim Salleh
SPAN melakukan pemotongan air disyaki sambungan bekalan air yang tidak sah selepas menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berhubung kes kecurian air di tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2). FOTO Halim Salleh
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


TAPAK pembinaan menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2), berhampiran Taman Melati, Gombak, diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), hari ini kerana dipercayai membuat penyambungan paip secara haram.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, pemeriksaan di tapak pembinaan itu mendapati ada sambungan tidak sah yang menggunakan paip berukuran 32 mm daripada paip utama SYABAS.

"Sambungan yang disyaki tidak sah ini dipercayai digunakan untuk aktiviti tapak pembinaan dan menampung kegunaan harian pekerja.

"Ujian klorin ditapak juga mengesahkan bekalan air yang diterima adalah air terawat," katanya pada sidang media sejurus operasi, hari ini.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 123(3) dalam Akta yang sama.

Sementara itu, Pengurus Besar Media, Acara dan Komunikasi Korporat SYABAS, Siti Zubaidah Zakaria berkata, anggaran kerugian selama 380 hari itu sebanyak RM145,364.59 bersamaan 63,756.40 meter padu bagi jumlah kehilangan air tidak berhasil.

Katanya, selain membayar denda, syarikat terbabit perlu membayar tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah.

"Kami mendapat maklumat mengenai kegiatan ini menerusi orang awam dan pasukan khas pergi ke lokasi untuk menyiasat dakwaan itu. Kami mengalu-alukan orang awam untuk bersama-sama membantu membanteras jenayah ini dengan melaporkan terus kepada SPAN atau SYABAS untuk siasatan dan pengesahan maklumat," katanya.

Katanya, bermula 1 Januari hingga 9 Oktober lalu, sebanyak 4,586 aduan diterima untuk siasatan dan hanya 98 aduan adalah sahih yang membabitkan kerugian RM1.82 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:18 PM