Siasatan kematian berdasarkan terma rujukan seperti mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 24 Akta 700.
Siasatan kematian berdasarkan terma rujukan seperti mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 24 Akta 700.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menjalankan siasatan terhadap kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Bera, Pahang, Rabu lalu.

Pengerusinya Datuk Yaacob Md Sam berkata, satu Pasukan Petugas terdiri pegawai kanan EAIC mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] ditubuhkan untuk menjalankan siasatan serta merta ke atas kematian ini.

"Skop siasatan berdasarkan terma rujukan seperti mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 24 Akta 700.

"Ia termasuk perlakuan bersifat jenayah oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa Soh Kai Chiok, 49, dikatakan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam lokap IPD Bera, sebelum disahkan meninggal dunia 12.15 pagi.

Mangsa ditahan polis kerana disyaki mencuri pisang dan disiasat atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Yaacob berkata, jika berlaku salah laku, siasatan akan menentukan dan mengenalpasti bagaimana dan mengapa ia berlaku; apakah peruntukan undang-undang, peraturan, kaedah, prosedur standard operasi (SOP) dan arahan tetap berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan yang dipecahi.

"Selain itu, siasatan juga akan dibuat terhadap individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku atau perlakuan jenayah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:13 AM