PENGERUSI EAIC, Datuk Yaacob Md Sam menunjukkan buku Laporan Siasatan EAIC berhubung kes kematian N Dharmendran dalam tahanan Polis. FOTO Fariz Iswadi Ismail
PENGERUSI EAIC, Datuk Yaacob Md Sam menunjukkan buku Laporan Siasatan EAIC berhubung kes kematian N Dharmendran dalam tahanan Polis. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menyerahkan laporan hasil siasatan dan dapatan kematian N Dharmendran pada 21 Mei 2013 kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata, salinan laporan juga akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

"Hasil dapatan ini adalah berdasarkan keterangan saksi dan bukti diperolehi semasa lima sesi pendengaran awam bermula 27 Julai hingga 16 November tahun lalu.

"Seramai 62 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang sesi pendengaran diadakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 21 Mei 2013, Dharmendran dilaporkan mati semasa dalam tahanan reman berhubung kes cubaan membunuh membabitkan senjata api di Lokap Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Berdasarkan hasil dapatan berkenaan, Yaacob berkata, kematian Dharmendran adalah akibat penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Katanya, keterangan Pakar Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Dharmendran pada 22 Mei 2013 mendapati, kematiannya disebabkan 'diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma'.

"Terdapat 52 kecederaan dalam bentuk kesan lebam pada tubuh badan si mati diakibatkan oleh hentakan objek atau benda tumpul.

"Kecederaan dianggarkan berusia dua hingga tiga hari sebelum tarikh bedah siasat tetapi tidak melebihi daripada empat hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 1:54 PM