Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Buat kali ketiga, ahli perniagaan, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, didakwa di mahkamah atas pertuduhan menipu dan memperdaya beberapa individu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah.

Sheikh Saidey, 43, yang didakwa terbabit dengan kesalahan itu, kali ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, atas pertuduhan menipu dengan memperdaya seorang wanita membabitkan kerugian RM70,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sheikh Saidey didakwa menipu dengan memperdaya Pauziah Ab Ghani, 61, dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Makkah yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM70,000 ke dalam akaun Bank Islam milik tertuduh di Lot 1, Jalan SG 7/10, Taman Sri Gombak, Batu Caves, di sini, jam 1.10 tengah hari, 13 Jun 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA).

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan sudah direman selama 90 hari.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 16 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 3:31 PM