Chia diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah dua tuduhan menipu. FOTO Abdullah Yusof
Chia diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah dua tuduhan menipu. FOTO Abdullah Yusof
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya : Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua tuduhan menipu dengan menyamar dari Istana Selangor serta memalsukan dokumen surat kuning yang dikeluarkan oleh Raja Luthfi Badli Shah, awal bulan ini.

Tertuduh, Chia Wen Jin, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu dengan menyamar dari Istana Selangor bagi pihak Raja Luthfi Badli Shah kepada Pengurus Bahagian Khidmat Pelanggan Palace of The Golden Horses, Nor Syakira Md Yusof berhubung menyediakan tempat letak kereta VIP percuma di hotel itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta VIP, Hotel Palace of The Golden Horses, Jalan Kuda Emas, Mines Resort City, Seri Kembangan, di sini, jam 9 malam, pada 5 Februari lalu.

Majistret Salamiah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 2:21 PM