JALI  dibawa  keluar dari mahkamah, semalam.
JALI dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: Pengerusi Eksekutif Koperasi Hartanah Malaysia Berhad (Kohama), Datuk Jali Sekak dan pensyarah sambilan, Datuk Dr Mohd Nasirudin Othman mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menipu enam kontraktor berhubung Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitkan kerugian RM5.36 juta.

Kedua-dua tertuduh, Jali, 52, dan Mohd Nasirudin, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap kedua-duanya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Hakim Hilmiah Yusof, Hakim Azwarnida Affandi dan Hakim Mabel S Muttiah.

Turut didakwa bagi pertuduhan bersubahat dan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM2.56 juta berhubung penipuan pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud itu ialah dua isteri Jali, Norhaizan Yahya, 45, dan Nur Nadia Yusof, 30.

Mengikut pertuduhan, Jali dan Mohd Nasirudin didakwa menipu enam kontraktor dengan memperdaya semua mangsa mempercayai bahawa projek Perumahan Pembinaan Rumah Mampu Milik 1Malaysia ditawarkan oleh Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB).

Perbuatan mereka itu mendorong semua mangsa menyerahkan RM5,360,000 sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan itu yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdaya sedemikian.

Pembinaan yang didakwa akan dilakukan antaranya di Segamat, Johor, Kuantan Pahang, Manjung, Setiawan dan Bidor, Perak adalah tidak wujud dan semua perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Koperasi Putrajaya Berhad, Putra Heights, Subang Jaya antara September 2013 hingga Februari 2014.

Sementara itu, Nor Nadia didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat dengan empat individu termasuk Jali dan Mohd Nasiruddin untuk melakukan penipuan sama sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM1.2 juta kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaan.

Jali dan Mohd Nasirudin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda manakala dakwaan terhadap Nor Nadia mengikut 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Nor Nadia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM700,000 milik Abdul Razak Nazri, 57, yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Pro Speed Resources miliknya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, Jali turut didakwa bersama-sama Nor Haizan dan Ahmad Sabki Ahmad Yusof, 48, atas pertuduhan sama menipu Mohd Fauzi Sail, 52, di mana perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan RM660,000 kepada KPHPB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:18 AM