SEBUAH pesawat syarikat penerbangan Turki tersadai di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk di Istanbul selepas salji tebal melanda bandar raya terbesar Turki itu, semalam. - EPA
SEBUAH pesawat syarikat penerbangan Turki tersadai di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk di Istanbul selepas salji tebal melanda bandar raya terbesar Turki itu, semalam. - EPA
SEORANG lelaki membuang salji dari bumbung rumahnya di Kampung Jezerc, Kosovo. - EPA
SEORANG lelaki membuang salji dari bumbung rumahnya di Kampung Jezerc, Kosovo. - EPA
SEORANG lelaki di Jezerc, Kosovo, meredah salji ketika suhu berada di sekitar negatif 26 darjah Celsius. - Reuters
SEORANG lelaki di Jezerc, Kosovo, meredah salji ketika suhu berada di sekitar negatif 26 darjah Celsius. - Reuters
Agensi

Warsaw: Sepuluh orang lagi mati akibat cuaca sejuk terlampau melanda Eropah, menjadikan jumlah kematian akibat hipotermia di Poland meningkat kepada 65 orang sejak November lalu.

Suhu dilaporkan menjunam sehingga negatif 20 darjah Celsius di beberapa kawasan di negara ini.

Kelmarin mencatatkan jumlah kematian tertinggi berkait dengan cuaca sejuk.

“Semalam (kelmarin) 10 orang mati kerana kesejukan,” kata jurucakap pusat keselamatan kebangsaan Poland (RCB) dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai membantu mereka yang berisiko terkena hipotermia, terutamanya gelandangan.

Seramai 77 orang mati pada musim sejuk lalu di negara yang mempunyai 38 juta penduduk itu.

Gelombang musim sejuk yang melanda seluruh Eropah mengakibatkan sekurang-kurangnya 33 kematian sejak hujung minggu lalu, kebanyakan mereka pendatang atau gelandangan.

Sementara itu, ribut salji turut melanda Turki sehingga melumpuhkan Istanbul, bandar terbesar negara itu dengan salji setebal 65 sentimeter.

Kenderaan dilarang menggunakan jalan raya di bandar raya berkenaan kerana keadaan licin hari ketiga berturut-turut semalam.

Selat Bosphorus, antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia juga ditutup kerana jarak penglihatan terlalu buruk, kata pengawal pantai Turki.

Kejadian yang terburuk sejak 2015 itu memaksa ratusan penerbangan dibatalkan dalam tempoh tiga hari lalu menyebabkan ribuan penumpang antarabangsa terkandas.

Sementara itu, darurat diisytiharkan di beberapa majlis perbandaran di selatan dan barat daya Serbia.

Puluhan kampung di Pestor, wilayah pedalaman negara itu terkepung akibat salji tebal, menyebabkan lebih 100 orang terpaksa dipindahkan oleh pekerja kecemasan.

Pihak berkuasa berkata, saluran paip air sejauh 70 kilometer juga beku.

Di utara Bulgaria, beberapa kampung juga terputus bekalan elektrik dan air.

Beberapa pulau Greece dan sebahagian kawasan di selatan Itali juga dilitupi salji.

Pihak berkuasa Itali berkata, tujuh orang dilapor mati akibat kesejukan sementara perkhidmatan feri dan penerbangan dibatalkan.

Di Prague, ibu negara republik Czech, tiga orang terbunuh selepas terperangkap dalam salji tebal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:48 AM