Belgrade: Sekumpulan pendatang dilihat menggigil kesejukan ketika menunggu makanan diagihkan dalam senario tidak ubah seperti dilihat dalam gambar arkib Perang Dunia Kedua.
Gambar seperti ini biasanya dilihat ketika zaman perang, seperti banduan Jerman di Stalingrad pada 1943.
Tetapi imej dipaparkan di sini dirakam kelmarin di Belgrade, ibu negara Serbia.
Ramai daripada puluhan ribu pendatang yang tiba di Eropah setiap tahun dari Afrika, Asia Barat dan Asia menggunakan ‘Laluan Balkan’ yang melintas kawasan berhampiran Belgrade untuk sampai ke negara Barat yang lebih kaya.
Dalam masa beberapa hari lalu lapan orang dilaporkan mati dalam cuaca di bawah paras beku yang turut membawa salji tebal dengan suhu sesejuk negatif 30 darjah Celsius di beberapa bahagian benua Eropah.
Hujung minggu lalu pula, sekurang-kurangnya 25 orang meninggal dunia, kebanyakannya di Poland.
Penduduk Belgrade bukan asing dengan kehidupan yang sukar - ketika Perang Dunia Kedua ia antara kawasan paling teruk dibom tentera Nazi ketika ia masih sebahagian daripada Yugoslavia.
Tetapi, cuaca sejuk melampau yang melanda Eropah sejak beberapa hari lalu menjadi ancaman terbaru yang membahayakan nyawa pendatang dan pelarian.
Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki berusia 88 tahun dan anak lelakinya berusia 64 tahun mati akibat cuaca di bawah paras beku di kampung Duga Poljana, selatan negara itu, yang paling teruk dibadai cuaca sejuk.
Televisyen kebangsaan Serbia melaporkan dua beranak itu - yang mayat mereka ditemui penghantar roti di kampung berkenaan - amat miskin.
Beberapa majlis perbandaran di Serbia mengisytiharkan langkah kecemasan untuk menangani cuaca ekstrem yang turut melihat beberapa perkampungan di selatan negara itu terputus hubungan akibat salji tebal.
Di Bulqize, Albania, cuaca mencecah negatif 22 darjah Celsius dan penduduk mengalami gangguan bekalan air serta elektrik.
Helikopter tentera turut dikerah menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan pergunungan terpencil.
Selepas diselar agensi bantuan dan kemanusiaan, pihak berkuasa Greece berkata, 250 pelarian di Pulau Lesbos akan dipindahkan dari khemah di kem sementara ke bilik hotel yang kosong.
Selain itu, kerajaan Greece juga berkata ia akan mengerahkan kapal tentera laut ke Lesbos untuk menjadi tempat perlindungan tambahan bagi pelarian di sebuah kem yang dilitupi salji tebal.