PELARIAN tinggal di khemah dalam keadaan serba kekurangan. FOTO fail AFP
PELARIAN tinggal di khemah dalam keadaan serba kekurangan. FOTO fail AFP
AFP

Aleppo: Dua bayi maut akibat kesejukan melampau selepas salji tebal dan suhu sejuk melanda kem pelarian di barat laut Syria.

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu agensi berita AFP, bayi perempuan berusia tujuh hari dan dua bulan itu, meninggal dunia di wilayah Idlib.

Kira-kira 2.8 juta orang mencari perlindungan di kubu kuat pembangkang selepas meninggalkan rumah mereka ketika perang saudara selama sedekad di negara itu.

Ramai yang tinggal di khemah usang tanpa pakaian tebal dan bahan api untuk pemanasan.

PBB memberi amaran keadaan semakin teruk berikutan kegawatan ekonomi yang teruk di Syria menyaksikan harga makanan berganda dalam setahun, serta kekurangan dana untuk menyediakan bantuan musim sejuk dan peningkatan keperluan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, bayi yang kematiannya dilaporkan pada Selasa itu tinggal di kem di kawasan al-Ziyara dan al-Sheikh Bahr, utara bandar Idlib.

Kumpulan pemantau yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menambah, seorang bayi lelaki berusia sebulan juga meninggal dunia akibat kesejukan di sebuah kem di Jarablus, di wilayah jiran Aleppo, pada 23 Januari lalu.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak terbunuh di kawasan Qastal Miqdad pada 18 Januari selepas salji menyebabkan bumbung khemah mereka runtuh.

Menurut PBB, 287 kem untuk pelarian di Idlib dan Aleppo terjejas akibat salji, banjir dan angin kencang akibat ribut yang melanda wilayah itu pada 18, 19 dan 25 Januari.

Salji memusnahkan sekurang-kurangnya 935 khemah dan merosakkan lebih daripada 9,500 yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 9:56 AM