WARGA Filipina yang ditahan.
WARGA Filipina yang ditahan.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Tiga warga Filipina termasuk seorang wanita ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya di sekitar Segambut atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu, semalam.

Ketua Pengarah JPN , Mohd Yazid Ramli berkata, hasil aduan orang awam, Ops ID dijalankan di dua lokasi sekitar Segambut dan ini adalah tangkapan penggunaan dokumen palsu yang ketiga di lokasi yang sama sejak tahun lalu.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama pada 11.50 malam, pengawal keselamatan yang mendakwa berasal dari Sabah ditahan di pondok pengawal sebuah pangsapuri.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berasal dari Filipina dan memiliki kad pengenalan milik rakyat Malaysia yang beralamat di Sabah. Suspek baru tiba di Malaysia sebulan yang lalu.

"Dalam tangkapan kedua pada 1.25 pagi tadi, kami menahan lelaki dan wanita yang menyewa di unit pangsapuri dan masing-masing menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 41 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(o) dan Peraturan 25(1)(e) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 4:07 PM