LELAKI warga asing yang ditahan memiliki dokumen palsu.
LELAKI warga asing yang ditahan memiliki dokumen palsu.
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: “Saya bukan orang Filipina... saya orang Sabah tuan!” itu antara taktik penipuan sekumpulan ahli sindiket warga asing yang dikesan mampu memalsukan pelbagai dokumen penting negara ini.

Tujuh warga asing terbabit yang memiliki dokumen palsu diberkas hasil operasi khas dijalankan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Segambut dan Bukit Kiara di sini, semalam.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, semua suspek ditahan hasil intipan dan laporan diterima berhubung pemalsuan dokumen pendaftaran negara.

“Dalam operasi bermula pada jam 12.30 tengah malam semalam, kami menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita yang mengaku berasal dari Sabah.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati enam suspek yang ditahan berasal dari Selatan Filipina, manakala seorang lagi berasal dari Indonesia,” katanya.

Dia berkata, semua suspek dikesan menggunakan Mykad palsu, selain dokumen pengenalan diri milik orang lain.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, mereka turut menemui dan merampas pelbagai jenis kad identiti, pas kerja, kad bank, geran kenderaan serta pasport antarabangsa Filipina dan Indonesia yang disyaki dipalsukan suspek.

“Tangkapan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang menyalahgunakan dan menjual dokumen pendaftaran negara di kalangan rakyat Filipina di negara ini.

“Siasatan terhadap semua suspek dijalankan mengikut Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan JPN akan meneruskan pelbagai operasi dan inisiatif bagi membanteras penyalahgunaan dokumen JPN terutamanya kad pengenalan.

“Ini secara tidak langsung menjaga kedaulatan serta keselamatan negara daripada diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Usaha ini kesinambungan kejayaan JPN pada 2017 dengan jumlah 240 tangkapan dan pendakwaan di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:42 AM