AZMIN (duduk kanan) diharap   selesaikan  tunggakan gaji, bonus pemain.
AZMIN (duduk kanan) diharap selesaikan tunggakan gaji, bonus pemain.
myMetro

Kuala Lumpur: Walaupun terkejut menerima perkhabaran peletakan jawatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kelmarin, pemain dan pegawai pasukan Red Giants mengharapkan Azmin tidak lupa melunaskan tunggakan gaji mereka.

Tonggak pertahanan Red Giants, Razman Roslan berkata, tunggakan gaji bulan November dan bonus yang dijanjikan pengurusan ketika di bawah seliaan Azmin diharap dapat diselesaikan segera biarpun beliau tidak lagi bersama FAS.

“Bagi saya itu (peletakan jawatan Azmin) tidak mengganggu fokus pemain ketika ini. Apa lebih penting adalah persiapan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super yang semakin hampir.

“Kami tidak mahu campur mengenai permasalahan pengurusan tertinggi, tugas kami hanya di tengah padang saja. Soal tunggakan gaji dan bonus, kami mohon diselesaikan kerana musim lalu beliau masih presiden,” katanya.

Sementara itu, jurulatih P Maniam turut meminta isu membabitkan masalah gaji dapat dilangsaikan segera demi memastikan anak buahnya terus fokus terhadap persiapan pasukan.

“Kerajaan negeri mesti melunaskan gaji and bonus pemain musim lalu sebab mereka sudah berjanji.

“Jika mereka tidak bayar ia menampakkan mereka tiada kredibiliti. Walaupun gaji pemain masih belum diterima, saya tetap bangga kerana pemain langsung tidak merungut sebaliknya tetap gigih menjalani latihan.

“Apapun, jika kerajaan negeri dapat selesaikan segera saya percaya motivasi pemain akan meningkat dan ia baik untuk kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:05 AM