Pengetua SMK Putrajaya Presint 16 (1), Ab Aziz Mamat bergambar bersama pelajar yang mengambil keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Pengetua SMK Putrajaya Presint 16 (1), Ab Aziz Mamat bergambar bersama pelajar yang mengambil keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Biarpun tidak memperoleh semua A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), anak bekas wartawan Berita Harian Allahyarham Mohd Hamizar Abd Hamid tidak patah semangat sekali gus memegang pesanan bapanya untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Aliff Haikal, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) memperolehi keputusan 3A bagi Bahasa Melayu (lisan), Bahasa Inggeris (lisan) dan Georgrafi.

Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui, fokus pembelajarannya sedikit terganggu lebih-lebih lagi bapanya meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum dia menduduki PT3.

"Saya ingat pesanan ayah malah, arwah juga sentiasa memberikan motivasi dan kata-kata semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Arwah juga pernah memberitahu, mahu melihat saya naik ke pentas menerima kejayaan tidak kira dalam apa jua perkara," katanya ketika ditemui di sini.

Pada pengumuman keputusan hari ini, seramai 10 daripada 185 calon PT3 di SMK Putrajaya Presint 16 (1) memperolehi keputusan semua A (11A, 10A, 9A).

Aliff Haikal berkata, dia merancang mengambil kemahiran kulinari pada tahun depan di sekolah berkenaan kerana meminati bidang masakan malah, kadangkala turut membantu arwah bapanya serta ibu memasak di rumah.

Pada 24 Jun lalu, arwah Mohd Hamizar berusia 43 tahun meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) di sini selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Barat.

Arwah menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC terbabit kemalangan jam 7 malam dan mangsa ditemui masih sedar serta mengadu sakit di bahagian rusuk seterusnya mendapatkan rawatan lanjut di HPJ sebelum meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 4:01 PM