Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Bekas Ketua Wiranita Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Raihan Sulaiman Palestin, 49, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Putrajaya (HPj), 1.50 pagi tadi .

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya pada 11 pagi sebelum dikebumikan di Presint 20, di sini.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali ketika ditemui di berkata, Allahyarham dimasukkan ke HPj minggu lalu selepas mengadu sakit dada dan selepas dua hari dirawat, arwah koma sebelum menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

"Saya mengenali arwah sejak lebih 20 tahun lalu sebelum dilantik sebagai Ketua Wiranita PERKASA yang pertama, malah saya juga rapat dengan arwah ayahnya.

"Arwah yang saya kenali mempunyai semangat yang cukup tinggi dan mempunyai prinsip sendiri, arwah juga sangat kental tetapi mudah bergaul dengan orang serta disenangi ramai kawan," katanya.

Ibrahim berkata, arwah juga banyak mewarisi sifat arwah ayahnya.

Allahyarham meninggalkan seorang suami dan empat anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Raihan yang juga ahli UMNO Kulim Bandar Baharu pernah berhasrat mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 12:13 PM