HARRIF (tengah) menjadi pelumba harapan TSG.
HARRIF (tengah) menjadi pelumba harapan TSG.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta Terengganu Cycling Team (TSG) supaya memaklumkan segera perancangan serta persediaan pelumbanya untuk menghadapi Sukan SEA tahun depan.

Badan induk berbasikal negara itu memberikan mandat penuh kepada pasukan profesional dari Terengganu terbabit untuk memastikan kejayaan dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Bagaimanapun, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab (gambar) menyuarakan kebimbangan kerana masih belum mendapat maklumat lengkap berhubung persediaan yang dilakukan TSG.

“Kita sudah memberikan sepenuh kepercayaan kepada TSG untuk dua acara itu. Namun, ketika fasa dua program Kita Juara, saya tidak nampak latihan khusus yang dijalankan mereka ke arah persiapan Sukan SEA,” kata Abu Samah.

Malaysia memenangi emas dalam dua acara berkenaan pada Sukan SEA Singapura tahun lalu menerusi Mohd Harrif Salleh.

“Seharusnya TSG memberikan maklumat tentang perancangan mereka kerana PKBM perlu mengetahuinya selaku badan induk namun mereka hanya berdiam diri. Saya difahamkan mereka turut menukar jurulatih.

“Malah, saya dimaklumkan pengurus skuad Sukan SEA Omar Saad serta pegawai MSN masih belum ada sebarang perbincangan mengenai perkara itu.

“Lebih membimbangkan saya, prestasi pelumba TSG dalam dua perlumbaan di China lebih teruk berbanding pelumba yang mewakili skuad negara,” jelasnya.

PKBM diberi tanggungjawab yang besar untuk membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan apabila MSN mahu mereka memenangi sekurang-kurangnya 13 daripada 20 emas yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:23 AM