Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menolak perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahu menubuhkan skuad lebuh raya kebangsaan penghujung tahun depan.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab menegaskan, perancangan MSN pasti akan mengundang masalah untuk skuad lebuh raya menyerlah pada Sukan SEA 2017 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos.

“Sebelum ini MSN memutuskan skuad lebuh raya tidak akan diwujudkan sehingga September tahun depan. Namun selepas mesyuarat majlis PKBM beberapa hari lalu dan menerusi cadangan Jawatankuasa Kecil Lebuh raya PKBM, kami mendapati ia tidak wajar.

“Tempoh tidak sampai setahun untuk mewujudkan skuad kebangsaan tidak mencukupi untuk menyerlah di Sukan SEA nanti,” jelas Abu Samah.

Skuad lebuh raya menggalas misi untuk mempertahankan pingat emas dimenangi Mohd Hariff Salleh dalam acara lepas beramai-ramai.

“Buat masa sekarang, PKBM hanya memanggil pelumba negeri sekiranya mahu menyertai sebarang kejohanan. Jadi kami tidak mempunyai barisan pelumba khusus untuk dibangunkan.

“Mungkin MSN mempunyai perancangan untuk menyenaraikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) menyertai kejohanan sepanjang tahun.

“Namun perlu diingat, apabila memasuki 2017, ada pelumba yang sudah meningkat umur dan tidak mampu bersaing di pentas tertinggi. Sekiranya berlaku kekurangan pelumba, bagaimana kita mahu menampung masalah ini sekiranya tiada skuad negara,” tambahnya.

Jadi menurut Abu Samah, adalah lebih baik MSN memanfaatkan sepenuhnya tempoh yang ada untuk membangunkan skuad kebangsaan.

“Bagi saya tempoh yang ada bermula daripada sekarang perlu dimanfaatkan sepenuhnya jika kita mahu menyerlah di Sukan SEA 2017 nanti,” katanya.

Pada masa sama, PKBM turut berharap MSN segera bertindak selepas bersetuju berbincang dengan bekas jurulatih TSG Sebastien Duclos yang pernah membantu skuad negara meraih emas Sukan SEA Singapura.

“Saya risau jika tidak segera bertindak, kita akan terlepas peluang untuk mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:05 AM