ANUAR (kanan) dan Harrif Saleh.
ANUAR (kanan) dan Harrif Saleh.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Nama pakar pecut Anuar Manan kembali disenaraikan untuk skuad lebuh raya bagi fasa kedua program Kita Juara bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan.

Tindakan menyenaraikan Anuar semula dibuat pada mesyuarat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) semalam.

Keputusan itu juga sekali gus mengubah senarai awal yang dicadangkan Terengganu Cycling Team (TSG) apabila pasukan profesional berkenaan tidak menyenaraikan Anuar untuk acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

TSG pada minggu lalu menyerahkan nama Mohd Harrif Saleh, Mohd Zamri Saleh, Adiq Husainie Othman, Shahrul Mat Amin, Saiful Anuar Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki kepada PKBM untuk dipanjangkan kepada MSN.

Menurut Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, selepas perbincangan bersama PKBM, mereka turut bersetuju menambah dua lagi pelumba Mohamad Farid Razali dan Muhammad Aele Shafri Rusli.

“Penyenaraian Anuar adalah memikirkan ketiadaan pakar pecut lain selain daripada Harrif dalam pasukan. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada Harrif, sekurang-kurangnya kita masih mempunyai pengganti.

“Kita akan melihat perkembangan fasa kedua, sesiapa yang mampu membantu pasukan akan dipilih apabila sampai masanya,” katanya.

Nur Amirul Fakhruddin pula disenaraikan untuk skuad ujian masa berpasukan yang diketuai Mohd Fauzan Ahmad Lutfi, Nik Mohd Azwan Zulkifli, Mohd Ameen Mohd Kamal dan Mohd Ameer Mohd Kamal.

Jelas Shapawi, TSG seharusnya tidak mempunyai masalah dan beliau berbangga kerana tujuh pelumbanya disenaraikan untuk fasa kedua program itu.

“Mesyuarat jawatankuasa kerja bersama antara MSN dan PKBM bersama-sama TSG akan diadakan pada Isnin minggu depan bagi perbincangan lanjut termasuk soal jurulatih dan program latihan,” tambahnya.

Hanya enam pelumba akan dipilih bersaing dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium manakala empat pelumba untuk ujian masa berpasukan pada Sukan SEA nanti.

Shapawi turut menjelaskan kira-kira 836 atlet disenaraikan untuk fasa kedua program Kita Juara yang bermula bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 8:34 AM