PELUMBA TSG bakal jalani latihan di Terengganu dan Melbourne.
PELUMBA TSG bakal jalani latihan di Terengganu dan Melbourne.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencapai persetujuan dengan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam menyelesaikan isu penubuhan skuad lebuh raya Sukan SEA 2017 dan elaun kemenangan pingat emas Sukan SEA 2015.

Badan induk berkenaan bersetuju menyenaraikan 15 pelumba bagi diserapkan dalam program Kita Juara untuk dipanjangkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi kelulusan pada minggu depan.

“Kita bersetuju menyenaraikan senarai awal berdasarkan 10 kriteria ditetapkan seperti memenangi emas Sukan SEA dua tahun lalu dan memenangi jersi Jelajah Asia,” kata Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab.

Antara pelumba tersenarai ialah Harrif Saleh, Anuar Manan, Fauzan Ahmad Lutfi, Adiq Husainie Othman, Loh Sea Keong dan Aiman Zariff.

“Semua pelumba dicadangkan menjalani latihan pusat di Terengganu selain latihan sebulan di Melbourne. Latihan akan dikendalikan jurulatih TSG Adam Szabo dan jurulatih negara yang akan dilantik,” katanya.

PKBM pernah mengemukakan senarai pelumba pilihannya kepada MSN bulan lalu, namun ditolak selepas didakwa gagal menyenaraikan pelumba terbaik negara.

Keputusan menyenaraikan barisan pelumba TSG ke dalam skuad Sukan SEA 2017 turut dilihat menyelesaikan isu tuntutan elaun yang dibangkitkan pelumba yang memenangi pingat emas Sukan SEA Singapura.

Pada masa yang sama PKBM turut mencalonkan Syed Hussaini Syed Mazlan sebagai jurulatih negara selepas nama Sebastien Duclos dan Johari Nayan gagal mencapai persetujuan MSN sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:06 AM