AIERIL Zafrel. FOTO arkib NSTP
AIERIL Zafrel. FOTO arkib NSTP
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur : Pelakon Aeril Zafrel, 28, menafikan dia ‘mengayat’ peminat wanita yang menjadi pengikutnya (followers) di laman sosial Instagramnya.

Menurut suami kepada pelakon Wawa Zainal itu, jika benar dia melakukannya, tidak mungkin dia akan melakukannya secara terbuka.

“Saya mempunyai 1.5 juta pengikut di Instagram yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Saya melayan mereka sama rata dan apabila ada masa terluang saya akan membalas komen mereka. Namun, jika ada yang tersalah anggap atau tersilap tafsir, perkara itu di luar kemampuan saya,” katanya.

Aeril ketika dihubungi berkata, isu itu bermula daripada seorang peminat wanita yang kononnya berbalas-balas komen dengan Aeril.

“Saya bukan membalas komen dia saja, tetapi juga peminat lain. Bagaimanapun ada pula individu yang memadam komen orang lain. Jadi, ia nampak seperti saya hanya berbalas komen dengan peminat terbabit saja hingga ia menjadi viral.

“Sebagai artis, sokongan peminat adalah tunjang utama kejayaan dalam karier saya.Saya amat menghargai mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan saya di Instagram,” katanya.

Aeril juga menyifatkan isu itu sebagai dugaan dalam rumah tangganya yang baru berusia lima tahun.

“Sebagai isteri Wawa amat mengenali saya dan dia juga pelakon. Ketika saya membalas komen peminat di Instagram, dia ada di sebelah saya dan turut membacanya. Jika ada komen nakal daripada peminat, dia senyum saja.

“Saya tiada masa untuk memikirkan hal lain, apatah lagi usia perkahwinan kami masih ‘muda’ serta dua anak yang masih kecil. Lebih baik saya fokus pada kerjaya dan keluarga saya. Kami berdua juga saling mempercayai dan saya akan menjaga kepercayaan Wawa dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 9:16 PM