Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pada majlis pelancaran produk lip tint, Fruit Candy.
Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pada majlis pelancaran produk lip tint, Fruit Candy.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Aeril Zafrel pernah menggelarkan dirinya 'sis' (panggilan admin WhatsApp) ketika mula berjinak dalam perniagaan empat tahun lalu.

Aeril berkata, ketika awal menceburi bidang bisnes dia tidak mengupah pekerja untuk mengendalikan pesanan serta info berkaitan produk, sebaliknya lebih selesa menguruskannya bersama isteri yang juga pelakon Wawa Zainal.

"Setahun juga kami buat berdua. Bungkus sendiri, hantar sendiri, tulis 'order' sendiri, sehinggalah membalas pesanan pelanggan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Biasalah, bila membalas mesej dengan pelanggan yang rata-ratanya wanita, semestinya mereka akan memanggil 'sis'. Saya pun melayan saja, kira menyamar jadi 'admin' WhatsApp bisnes kami. Mereka tak tahu saya sendiri yang mengendalikan pesanan," katanya.

Aeril ditemui pada majlis pelancaran produk lip tint, Fruit Candy di Ampang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Wawa berkata, mengimbas kembali kenangan yang ditempuhi itu membuatkan dia sentiasa bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterima hari ini.

"Kami akan ingat kenangan itu sampai bila-bila. Jika dahulu semuanya sendiri, kini kami dapat berkongsi rezeki. Alhamdulillah, perlahan-lahan kami membina empayar perniagaan, menimba ilmu bisnes dan mengambil pekerja.

"Kini, apa yang kami usahakan sudah memasuki empat tahun dan mempunyai 30 orang pekerja," katanya.

Pada acara yang berlangsung, Aeril dan Wawa melancarkan semula rangkaian lip tint yang pernah dikeluarkan sebelum dan tidak menyangka produknya sudah terjual sebanyak 65,000 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 6:54 PM