KESAN tapak tangan barisan bintang HI-5 sebagai tanda kenangan di pusat pembelajaran berkenaan.
KESAN tapak tangan barisan bintang HI-5 sebagai tanda kenangan di pusat pembelajaran berkenaan.
PENAMPILAN istimewa bintang program kanak-kanak popular HI-5.
PENAMPILAN istimewa bintang program kanak-kanak popular HI-5.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Buat julung kalinya di Malaysia, Hi-5 World melancarkan Hi-5 House of Learning (Hi-5 HOL) iaitu pusat pendidikan prasekolah yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pusat pembelajaran itu menawarkan pendekatan bermain sambil belajar dan kaedah penemuan khusus untuk kanak-kanak yang berumur enam bulan hingga sembilan tahun.

Menerusi kaedah berkenaan, kanak-kanak dapat merasai persekitaran di dalam kelas dan secara tidak langsung membina asas kemahiran penting untuk persediaan ke sekolah rendah.

Kaedah pembelajaran bersepadu pusat pendidikan prasekolah itu dicipta Dr Catherine Martin, Helen Martin dan Julie Greene yang juga panel penasihat pendidikan kanak-kanak terkenal.

Berbanding teknik pembelajaran biasa, kaedah itu dikatakan dapat memenuhi cita rasa ibu bapa yang ingin mendedahkan anak mereka kepada kurikulum yang lebih komprehensif.

Kurikulum yang disediakan menggunakan teori kecerdasan pelbagai yang dipelopori Howard Gardner serta teori perkembangan kognitif daripada Jean Piaget.

Pusat pendidikan prasekolah itu akan menerapkan pelbagai klip video, lagu serta kisah daripada program terkenal itu bagi menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan.

Pengarah Eksekutif Kreatifnya, Julie Green berkata, kurikulum yang digunakan adalah hasil kolaborasi daripada dua pakar pendidikan kanak-kanak terkemuka Australia iaitu Helen dan Catherine.

Katanya, pihaknya teruja untuk berkongsi kurikulum berkenaan dengan kanak-kanak di Malaysia yang dipercayai turut menjadi peminat tegar rancangan popular itu.

"Dengan menggabungkan jenama rancangan popular itu dan platform pendidikan, kami berharap pusat prasekolah ini dapat mendorong kanak-kanak di Malaysia untuk menimba ilmu.

"Selain itu, ia juga boleh menjadi platform dalam menyediakan asas kemahiran penting untuk kanak-kanak sebelum ke sekolah rendah," katanya.

Seperti di dalam rancangan kanak-kanak popular terbabit, pelajar pusat pendidikan prasekolah itu akan meneroka lima segmen pendidikan berlainan sepanjang minggu.

Contohnya, Isnin adalah hari 'Shapes and Space' yang menitikberatkan pendidikan visual manakala Selasa adalah Hari Wordplay yang memberi fokus kepada pembelajaran bahasa Inggeris.

Rabu pula adalah Puzzle and Patterns iaitu hari pembelajaran logik dan konsep matematik. Berlainan pula pada Khamis di mana kanak-kanak akan mempelajari mengenai muzik. Menerusi slot ini, kanak-kanak dapat mengenal rentak, irama dan muzik secara lebih mendalam.

Untuk perkembangan sosial dan emosi pula, pusat berkenaan menyediakan segmen berkongsi cerita bagi membolehkan kanak-kanak bertukar pendapat dan berkongsi kisah kegemaran masing-masing.

Menurut Pengerusi Hi-5 World, Datuk Jared Lim, pusat prasekolah itu menyediakan tempat pembelajaran yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

"Rancangan kanak-kanak popular itu menyediakan suasana pembelajaran ideal untuk kanak-kanak dan sekarang kami ingin membawa konsep berkenaan ke dalam kelas.

"Kami percaya, kanak-kanak akan lebih seronok seperti berada dalam program terbabit, sekali gus mendorong mereka mempelajari pelbagai perkara baru setiap hari," katanya pada majlis pembukaan prasekolah itu, baru-baru ini.

Pusat pendidikan pra-sekolah itu mencatat sejarah tersendiri apabila ia dirasmikan oleh kelima-lima ahli kumpulan muzik terkenal Hi-5 yang diterbangkan khas ke negara ini.

Selain beramah mesra, mereka juga tidak ketinggalan meninggalkan kesan tapak tangan sebagai cenderahati kepada sekolah berkenaan.

Bagi yang berminat, pusat prasekolah yang mula beroperasi Januari depan itu menawarkan program Prenursery, Nursery dan pelbagai kelas tambahan yang sejajar dengan minat kanak-kanak.

Ia terletak di kawasan seluas 100, 000 meter persegi di Bukit Damansara dengan kemudahan seperti taman permainan dalam dan luaran yang luas.

Selain itu, ia turut dilengkapi kolam renang air garam, dinding panjat tebing, bilik gimnastik, bilik muzik, dapur untuk kelas memasak dan kafe.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:02 AM