TURUT raikan graduasi pelajar Pusat ENHANCE.
TURUT raikan graduasi pelajar Pusat ENHANCE.
KANAK-kanak gembira terima sumbangan.
KANAK-kanak gembira terima sumbangan.
Aniza Zainudin

LEBIH 30 kanak-kanak Orang Asli yang juga pelajar Pusat Mempertingkatkan Kesihatan, Nutrisi dan Pendidikan untuk Kanak-kanak (ENHANCE) menerima sumbangan barangan kelengkapan persekolahan termasuk beg sekolah, set alat tulis dan buku, baru-baru ini.

Sumbangan Fonterra Brands Malaysia (Fonterra) dan Yayasan Salam ini disampaikan sempena program Kembali ke Sekolah bersama kanak-kanak komuniti Orang Asli di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bahru, Selangor seiring majlis graduasi pelajar Pusat ENHANCE.

Pengurus Hubungan Koperatif Fonterra, Manisya Ismail berkata, program Kembali ke Sekolah ini adalah acara tahunan yang bertujuan meningkatkan kesedaran hidup komuniti Orang Asli di lokasi berkenaan.

“Kami turut menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak di kampung berkenaan kerana ia kunci yang mewujudkan peluang kehidupan dan pekerjaan pada masa depan.

“Malah kami percaya setiap kanak-kanak seharusnya mempunyai akses terhadap pendidikan yang baik. Justeru, menerusi program ini, kita mampu membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung keluarga. Paling penting, kita berpeluang mewujudkan asas pendidikan kukuh kepada generasi muda di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pusat ENHANCE ditubuhkan pada 2013 oleh Fonterra dan Yayasan Salam berperanan meningkatkan tahap pendidikan, kesihatan serta nutrisi dalam kalangan komuniti di Kampung Pertak.

Sementara itu, guru, Nurul Atiqah Mohamad menyifatkan barangan kelengkapan persekolahan penting kepada perkembangan pelajar seterusnya memberi akses pendidikan lebih baik kepada anak komuniti orang Asli ini.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, pihak Pusat ENHANCE melihat perkembangan penyertaan kanak-kanak di pusat berkenaan.

Lebih membanggakan, kanak-kanak ini berjaya menonjolkan keupayaan pembelajaran dan perkembangan peribadi yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:00 AM