SETIAP kumpulan kanak-kanak dibekalkan set lego pada Kem Legobot baru-baru ini.
SETIAP kumpulan kanak-kanak dibekalkan set lego pada Kem Legobot baru-baru ini.
PENGENDALI kelas Legobot menunjukkan cara menggunakan peralatan lego kepada kanak-kanak.
PENGENDALI kelas Legobot menunjukkan cara menggunakan peralatan lego kepada kanak-kanak.
ANTARA kanak-kanak yang menyertai Kem Legobot anjuran CIC bulan lalu.
ANTARA kanak-kanak yang menyertai Kem Legobot anjuran CIC bulan lalu.
myMetro

Jepun dan China antara negara yang menekankan kepentingan bidang robotik. Ini terbukti menerusi silibus berkaitan subjek itu yang sudah diterapkan seawal peringkat sekolah rendah lagi.

Hakikatnya, pembelajaran berkaitan robotik bukan sekadar mengasah kemahiran sains dan teknologi, tetapi turut menyuntik elemen kreativiti dan inovasi seseorang.

Di Malaysia, biarpun subjek robotik belum diberi fokus wajib di sekolah rendah, tidak dapat dinafikan ada murid mampu mempamerkan kebolehan agak membanggakan dalam bidang itu.

Melihat senario ini, Children Islamic Centre (CIC) kendalian Proquaz Sdn Bhd memulakan inisiatif menyediakan kelas Legobot di pusat pendidikan awal kanak-kanak terpilih sekitar Lembah Klang.

Hasil kerjasama dengan Lego Education dalam membekalkan peralatan belajar serta khidmat nasihat berhubung sukatan pembelajaran yang sesuai, kelas ini mula dilaksanakan sejak 1 April lalu.

Menyasar peringkat prasekolah membabitkan kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun, kelas ini memberi tumpuan kepada asas robotik menggunakan produk Lego khusus untuk pendidikan awal kanak-kanak.

Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Proquaz Muhammad Muzaffar Basarudin berkata, kelas itu kursus tambahan yang ditawarkan kepada murid CIC mahupun bukan CIC pada hujung minggu.

Bagaimanapun, katanya, kelas itu bukan memberi tumpuan kepada ilmu robotik semata-mata, sebaliknya disesuaikan dengan segala asas pendidikan sains, matematik dan teknologi yang diperlukan kanak-kanak masa kini.

Ia tentunya secara tidak langsung menyokong usaha Kementerian Pendidikan memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolah ketika ini.

“Lego Education mempunyai peralatan sendiri yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak belajar mengenai robotik. Disebabkan itu, CIC cuba mendedahkan subjek ini di peringkat lebih awal iaitu prasekolah,” katanya.

Beliau ditemui ketika Kem Legobot yang berperanan sebagai kelas pengenalan pada bulan lalu, menyaksikan 40 kanak-kanak leka bermain lego sambil dipantau tenaga pengajar terlatih CIC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:19 AM