AKTIVITI bagi menggalakkan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.
AKTIVITI bagi menggalakkan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kanak-kanak berkeperluan khas sering dipinggirkan khususnya dari aspek potensi akademik, termasuk ditempatkan di sekolah pendidikan khas sedangkan mereka layak belajar dalam sistem pendidikan seperti golongan normal.

Bagi kanak-kanak prasekolah pula, meskipun terdapat kepentingan intervensi awal dalam pendidikan, amat sukar mencari prasekolah yang menyokong kanak-kanak berkeperluan khas dalam program pendidikan dan integrasi mereka.

Hakikatnya, intervensi awal kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan unik seperti gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) dan gangguan defisit tumpuan (ADD), gangguan motor serta masalah pembelajaran sederhana amat penting untuk meningkatkan potensi akademik mereka.

Pengetua Safari Kid Malaysia Jigna Doshi berkata, ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas perlu mencari prasekolah yang mempunyai program pembelajaran untuk disesuaikan dengan keadaan kanak-kanak.

Katanya, prasekolah itu perlu mempunyai Jabatan Pendidikan Keperluan Khas (SEN) dan di Safari Kid, program seumpama itu dikenali sebagai STEP dengan tenaga pengajar terlatih dan berkelayakan yang ditugaskan untuk membimbing kanak-kanak berkeperluan khas.

SAFARI Kid menyediakan ­program prasekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
SAFARI Kid menyediakan ­program prasekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

“Program integrasi ini bermatlamat untuk memastikan kanak-kanak berkeperluan khas dengan kelewatan pembelajaran dapat dibantu supaya mereka boleh menyertai bilik darjah biasa.

“Ibu bapa perlu melihat program yang merangkumi semua bidang pembangunan. Bidang seperti pembangunan sosial dan emosi, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan melalui kerja projek, pembelajaran tematik adalah antara beberapa bidang yang sepatutnya dalam kurikulum yang sihat.

“Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, program ini juga perlu memasukkan semua bahan pembelajaran sesuai yang diperlukan oleh jabatan ini,” katanya.

Menurutnya, penting bagi kanak-kanak berkeperluan khas ini untuk berada dalam suasana kelas biasa supaya mereka dapat berinteraksi dengan kanak-kanak normal lain dan guru mempunyai masa memberi perhatian khas (individu) kepada kumpulan ini.

Sehubungan itu katanya, prasekolah perlu mengambil langkah supaya guru khas dalam bidangnya memberi bantuan tepat kepada kanak-kanak ini sejajar dengan masalah perkembangan lewat yang merangkumi aspek pertuturan, tingkah laku, deria dan kemahiran motor.

Katanya, guru khas ini menjejaki perkembangan secara harian supaya mereka dapat membantu kanak-kanak terbabit dengan berkesan.

INTERAKSI antara pendidik dan kanak-kanak amat penting.
INTERAKSI antara pendidik dan kanak-kanak amat penting.

“Apabila kanak-kanak ini memperuntukkan beberapa jam sehari dalam suasana kelas biasa, mereka dapat menerapkan apa yang dipelajari di kelas khas.

“Mereka dapat bersosial dengan betul bersama rakan sekelas, menerapkan kemahiran belajar dalam suasana kumpulan dan memperbaiki perkembangan apabila melihat kanak-kanak lain melakukan perkara yang sama,” katanya.

Jigna berkata, apabila kanak-kanak dengan perkembangan lewat berinteraksi bersama kanak-kanak dengan perkembangan normal, mereka dapat memerhatikan dan meniru banyak sifat dan tingkah laku yang diterima secara sosial. Kanak-kanak ini juga akan terdedah kepada komunikasi dan ini dapat membantu perkembangan mereka.

Katanya, prasekolah dan ibu bapa perlu sentiasa berkongsi matlamat dan harapan yang sama terhadap perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

“Di sekolah ini, kami mempunyai kadar kejayaan besar bagi perkembangan terbaik anak apabila ibu bapa turut memainkan peranan dan bekerjasama dengan sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 12:02 AM