Pengurus Jabatan Tajaan KYP Che Ku Noor Azlina Che Ku Abdullah (kiri) menyerahkan replika cek Insurans Takaful RM167,000 kepada Fathiyah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pengurus Jabatan Tajaan KYP Che Ku Noor Azlina Che Ku Abdullah (kiri) menyerahkan replika cek Insurans Takaful RM167,000 kepada Fathiyah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Saya akan memikul amanah membesarkan anak-anak walaupun tanpa arwah (Syed Abdul Razaq Syed Isa, 40). Arwah mengimpikan lima anak kami berjaya di dunia dan akhirat.

“Walaupun berat tanggungjawab membesarkan lima anak berusia 10 bulan hingga lapan tahun namun sebagai ibu, saya tetap akan lakukan yang terbaik,” kata Fathiyah Yusuf Hashim, 28.

Fathiyah yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia berkata, arwah Syed Abdul Razaq yang bertugas di Kolej Yayasan Pahang (KYP) sebagai pensyarah dijemput Ilahi pada 20 November lalu selepas tiga tahun menghidap masalah paru-paru dan kegagalan fungsi organ dalaman.

Katanya, pada peringkat awal, anak-anak sentiasa bertanya ke mana arwah pergi namun kini keadaan semakin pulih.

“Arwah sangat sayangkan serta memanjakan anak-anak, kehilangannya menyebabkan mereka terasa. Hanya anak sulung, Syed Muhammad Taufik yang berusia lapan tahun dan anak kedua, Syed Muhammad Ukashah yang berumur tujuh tahun memahami bapa mereka sudah tiada.

“Selepas tiga tahun menanggung derita, akhirnya arwah meninggalkan kami. Walaupun sukar menerima kenyataan namun saya reda dengan ketentuan Tuhan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan pampasan Insurans Takaful berjumlah RM167,000 di pejabat KYP Tanjung Lumpur di sini, semalam.

Fathiyah berkata, wang insurans diterima akan digunakan untuk membesarkan lima anak selain kegunaan keluarga dan sebagai suri rumah, dia tidak mempunyai pendapatan lain.

Katanya, ketika sakit, arwah ada memohon pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) namun sehingga kini masih tiada jawapan.

“Jika permohonan itu berjaya, ia dapat menampung sara hidup kami sekeluarga. Pada masa sama, sokongan ahli keluarga arwah suami menambahkan lagi semangat saya meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

“Saya yakin ada hikmah di sebalik dugaan ini dan Tuhan sentiasa bersama saya. Harta yang saya ada kini hanyalah anak-anak dan amanah itu akan saya galas sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KYP Datuk Norhishamuddin Yaacob berkata, pihaknya simpati dengan nasib Fathiyah dan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

“Arwah berasal dari Kampung Tekal, Temerloh. Dia bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Umum (PPU) dan bertugas dengan KYP lebih sembilan tahun.

“Ketiadaan arwah satu kehilangan besar kepada KYP, arwah cukup berpengalaman malah ilmu dimilikinya begitu berharga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:45 PM