Noorazura Abdul Rahman


TUKANG masak di hotel di Kuala Lumpur yang menderita kanser otak tahap empat, meninggal dunia Isnin lalu.

Rosni Ismail, 38, isteri arwah Mohd Zaher Zakaria, 43, berkata, suaminya pernah berpesan untuk menjaga anak sebaik mungkin.

“Arwah sempat berpesan jangan serahkan anak kami kepada orang lain apabila dia sudah tiada selain meminta saya menjaga mereka baik-baik,” katanya.

Rosni berkata, dia reda dengan pemergian suaminya dan perlu menguatkan semangat demi anak-anak termasuk dua yang masih belum bersekolah.

“Sudah hampir setahun arwah sakit, pelbagai dugaan saya lalui termasuk hilang sumber pendapatan apabila kami masing-masing tidak dapat bekerja dan saya hanya bergantung kepada tempahan membuat kek bagi menampung perbelanjaan.

“Melihat keadaan saya yang bersusah payah, arwah sempat berpesan agar tidak menyerahkan anak kami kepada orang lain, walaupun susah selepas ini,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Alor Setol, Langgar di Alor Setar, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan nasib Mohd Zaher yang terlantar sehingga mengubah hidup keluarganya.

Mereka yang pernah memiliki kedai kek di Kuala Lumpur terpaksa menutup perniagaan itu selepas dia disahkan mengidap penyakit itu Disember tahun lalu.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagi menyampaikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Mahfuz berkata, Rosni dan empat anaknya layak menerima pencen ilat berjumlah RM1,164.58 sebulan.

“Rosni juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 selain semakan PERKESO juga mendapati Mohd Zaher pernah mencarum dan melayakkan anak-anaknya menerima pencen ilat sehingga mereka berusia 21 tahun,” katanya.

Difahamkan, Rosni akan kembali ke Kuala Lumpur untuk membesarkan anak-anaknya dan berniaga secara kecil-kecilan.

Berita berkaitan

Tukang masak kini terlantar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 1:57 PM