Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Lelaki berusia 40-an yang memandu lori tiga tan sarat muatan rokok seludup ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor dalam serbuan di Jalan Sultan Yahya, Kota Bharu, hari ini.

Sejumlah 12,000 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM1.5 juta ditemui tersorok dalam lori berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya sebelum itu sudah mengekori pergerakan lori berkenaan dari Cabang Tiga Palekbang, di sini.

"Kita mengekorinya sejauh 10 kilometer sebelum serbuan dibuat ketika lori berkenaan berhenti di tempat letak kereta di belakang pasar raya di Kota Bharu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui 240 kotak berisi 12,000 karton rokok putih yang diseludup. Ia dibalut dengan plastik lutsinar dan disembunyikan.

"Kita percaya, rokok ini untuk pasaran tempatan berikutan mendapat permintaan tinggi," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Program Latihan dalam Perkhidmatan di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Ahmad Amri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua bot nelayan kelas C turut dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

"Bertindak atas maklumat orang awam, anggota ke lokasi terbabit dan menahan dua bot bersama dua tekong warga Thailand dan 10 awak-awak warga Myanmar.

"Mereka ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan rampasan dianggar RM800,000 termasuk hasil laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 4:02 PM