Mohamad Zulhairie Manzaidi

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 3.6 juta batang rokok putih dan keretek membabitkan nilai keseluruhan RM2.6 juta, semalam.

Rampasan itu hasil serbuan di premis tanpa nombor di Kampung Jeram, Pasir Puteh, 9.30 malam, ketika dua lelaki dipercayai sedang memunggah rokok seludup berkenaan ke dalam stor.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki terbabit dan menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero.

Bertindak atas maklumat dan risikan, beliau berkata, serbuan itu dilakukan oleh dua pegawai serta 12 anggota di permis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kita mendapati ada sebanyak 343 kotak mengandungi 199,700 karton rokok putih dan keretek pelbagai jenama.

“Berdasarkan siasatan awal, stor terbabit dipercayai dijadikan transit sejak setahun lalu sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Kelantan,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, hari ini.

Ahmad Amri berkata, rokok berkenaan dipercayai diseludup dari Indonesia ke negara ini melalui pantai barat Semenanjung.

“Rokok terbabit dipercayai mendapat permintaan tinggi, terutama dalam kalangan penduduk negeri ini kerana murah,” katanya.

Beliau berkata, rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini oleh PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, setakat ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Pihak kami akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti jenayah merentasi sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 10:39 PM
AHMAD Amri (tiga kiri) bersama anggotanya menunjukkan karton rokok seludup yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi
AHMAD Amri (tiga kiri) bersama anggotanya menunjukkan karton rokok seludup yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi