Ahmad Amri (tengah) bersama dengan anggota PPM menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahmad Amri (tengah) bersama dengan anggota PPM menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas rokok seludup bernilai RM426,440 yang ditemui di sebuah lori di Kampung Tualang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 4.50 pagi itu, pihak berkuasa menemui 55 kotak mengandungi rokok jenama Premium dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran di Tumpat dan Kota Bharu.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berikutan pemandu lori dan kelindannya melarikan diri.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan membabitkan dua anggota Unit Risikan Marin (URM) bersama seorang anggota bot ronda selepas menerima maklumat awam.

"Dalam operasi terbabit, anggota yang bertugas mendapati sebuah lori dalam keadaan mencurigakan bergerak ke kawasan sawah tanpa memasang lampu.

"Anggota PPM kemudian membuat halangan dengan kenderaan untuk menghentikan lori terbabit.

"Bagaimanapun, pemandu dan kelindan melarikan diri," katanya di sidang media di Pejabat Polis Marin Pengkalan Kubor, hari ini.

Menurutnya, rampasan dibawa ke pangkalan PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 6:43 PM