NORIAN (kiri) dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.
NORIAN (kiri) dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam hormat dan selamat bertemu kembali dalam siri Mengenali Ketua Polis Negara. Minggu ini, kita akan menelusuri sejarah perkhidmatan dan sumbangan bakti Ketua Polis Negara Keenam, iaitu Tan Sri Norian Mai.

Norian dilahirkan pada 5 November 1946, di Sungai Manik, Perak. Beliau memasuki perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP) pada 8 September 1969. Dengan prestasi cemerlang yangdipamerkan, beliau dinaikkan pangkat dan diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting sehinggalah dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 1 Januari 1994. Pada 6 Mei 1997, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara dan mencapai ke kemuncak kerjayanya dalam perkhidmatan polis apabila dilantik sebagai Ketua Polis Negara Keenam pada 8 Januari 1999.

Sebagai Ketua Polis Negara, langkah pertama yang dijalankan beliau ialah memperkenalkan konsep ‘Mesra, Cepat dan Betul’ sebagai wadah perkhidmatan pasukan. Ia diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan agenda perkhidmatan PDRM dengan membudayakan perkhidmatan yang mesra, tindakan yang cepat dan keputusan yang betul dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat. Konsep itu bertujuan menghasilkan suasana yang harmonis dan saling hormat menghormati di antara polis dengan orang ramai.

Mesra, Cepat dan Betul adalah satu gagasan atau impian pasukan untuk memastikan negara ini sentiasa selamat, aman dan damai. Gagasan itu selari dengan Wawasan 2020 yang merupakan satu matlamat menggerakkan langkah yang positif dan dinamik ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Pada 7 Jun 2000, Norian melancarkan kod etika baru sebagai usaha menjadikan PDRM sebagai sebuah pasukan yang maju, seiring dengan perkembangan era teknologi maklumat. Lima perkara yang terkandung dalam kod etika baru itu berlandaskan aspek Setia, Berdisiplin, Berwibawa, Prihatin Dan Mesra, dan Cemerlang, yang membawa maksud:

• Setia: Anggota polis mesti memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara, kerajaan dan pucuk pimpinan pasukan.

• Berdisiplin: Setiap anggota polis mesti mengutamakan disiplin diri dan tugas pada setiap masa dengan tekun, tabah dan beramanah.

• Berwibawa: Anggota polis mesti melaksanakan segala kewajipan dan kuasa dengan jujur, tegas, berani, adil dan saksama.

• Prihatin dan Mesra: Anggota polis mesti sentiasa memberi perkhidmatan yang mesra, cepat, betul serta terkini dan mengutamakan hak dan kepentingan masyarakat.

• Cemerlang: Anggota polis mesti sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran, mengamalkan cara hidup sederhana, suci dan bahagia untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang serta bersikap positif dan proaktif bagi mewujudkan sebuah organisasi yang unggul dan peka terhadap perubahan semasa.

Kod Etika tersebut bertujuan menggabungkan nilai etika yang sedia ada dengan kehendak ciri-ciri pengurusan moden dan peredaran semasa, dengan harapan dapat melahirkan warga PDRM yang mantap, berwibawa serta seiring dengan perkembangan zaman.

Norian mengambil-alih tampuk kepemimpinan PDRM dalam suasana yang sangat mencabar dan antara peristiwa yang menduga kemampuan dan keupayaannya sebagai Ketua Polis Negara adalah:

1. Peristiwa Bukit Jenalik, Perak yang berpunca dari fahaman agama yang sempit dan melampau oleh Kumpulan Al-Maunah sehingga menggugat keselamatan negara;

2. Kejadian penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, Sabah oleh anasir luar sehingga menggugat kedaulatan negara;

3. Ancaman pengganas Jemaah Islamiah (JI), bertujuan menubuhkan sebuah ‘Daulah Islamiah’ yang merangkumi negara di Nusantara termasuk Malaysia dengan cara menumbangkan kerajaan sedia ada melalui pemberontakan bersenjata.

Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap 55 orang anggota JI di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN)1960 dan berjaya melumpuhkan organisasi rangkaian kumpulan ini di seluruh negara. Ke arah menangani isu keselamatan dan juga jenayah, Norian memberi penekanan kepada dua prinsip penting dalam perkhidmatan, iaitu profesionalisme dan kesetiaan. Ciri-ciri profesional, menurut kaca mata Norian, harus dipamerkan melalui tindakan yang telus serta berlandaskan undang-undang dan peraturan jabatan.

Prinsip kesetiaan pula, harus diamalkan melalui tiga aspek penting iaitu kesetiaan kepada undang-undang dan peraturan, kesetiaan kepada kerajaan dan kesetiaan kepada pucuk pimpinan PDRM. Selaras dengan kehendak masyarakat dan aspirasi negara, Norian juga berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan menekankan konsep perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan mesra dalam aspek:

1. Penyampaian perkhidmatan (Delivery System) dengan mengurangkan kerenah birokrasi, menghapuskan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

2. Memperkenalkan Sistem Pengaduan Polis (Police Reporting System) di semua balai polis, Car Accident Reporting System (CARS) dan Trafik Cops di semua Pejabat Polis Trafik di seluruh negara, serta menyediakan sistem penggiliran bernombor di pejabat pertanyaan balai polis yang sibuk.

3. Memperkenalkan Ops Sikap, bagi melahirkan kesedaran dan penekanan kepada disiplin pemanduan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Bagi meningkatkan tahap profesional dan fungsi selain keberkesanan perkhidmatan PDRM kepada rakyat, Norian juga telah memperkenalkan sistem baru bagi pengurusan pengeluaran dan kemasukan barang-barang logistik melalui sistem SMS (Spesifik Material Store) yang berjaya menjimatkan kos RM200 juta setahun, berbanding menggunakan sistem manual sebelumnya. Sistem ini adalah satu sistem yang diperkenalkan melalui pakej Kerajaan Elektronik (E-Government) dan merupakan satu sistem integrasi pengurusan stor dan aset berpandukan kepada konsep Pusat Pengedaran Wilayah atau RDC (Regional Distribution Centre). Penggunaan sistem ini jelas memberi perkhidmatan terbaik dalam pengoperasian bahagian logistik PDRM. Sistem ini telah memenangi anugerah Perdana Teknologi Maklumat 2001 bagi sektor awam ekoran kesungguhan PDRM memanfaatkan ICT dalam pengurusan LogistikPDRM atau E-Logistics.

Norian mempunyai wawasan untuk meletakkan PDRM ke taraf dunia dengan mengembangkan lokasi MS ISO 9001:2000 Cawangan Polis Trafik seluruh negara, yang dimulai oleh Cawangan Trafik Klang dan diikuti oleh Cawangan Trafik di Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor. Seterusnya, pelaksanaan MS ISO 9001:2000 PDRM dikembangkan bagi meliputi Jabatan Pengurusan (Pengurusan Kursus di MaktabPDRM, Kuala Lumpur), Jabatan Siasatan Jenayah (Pengurusan Siasatan Jenayah Seksual,Keganasan Rumah tangga dan Penderaan Kanak-Kanak) dan Jabatan Narkotik(Pengurusan Perlucuthakan Harta) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta1998 Akta 340).

Seperti KPN sebelumnya, Norian telah meneruskan usaha menghantar pegawai dan anggota PDRM menyertai Misi PBB bagi tujuan menempa nama dipersada dunia. Antaranya ialah Misi MINURSO (Western Sahara), UNMIBH/IPTF(Bosnia), UNAMSIL (Sierra Leone), UNAMET/UNTACT/UNMISET (East Timor),UNMIK Kosovo) dan UNAMA (Afghanistan). Selain mengambil berat hal kebajikan warga PDRM melalui usaha menambah baik kemudahan perumahan, elaun dan tangga gaji, Norian turut menggalakkan warganya untuk bergiat dalam bidang sukan.

Semasa era kepemimpinannya, PDRM banyak menempa nama di dalam arena sukan, termasuk kejayaan di World Police And Fire Games di Barcelona, PDRM berjaya mengumpul pingat emas paling banyak. Pada 5 November 2003, PDRM terpaksa melepaskan seorang pewira yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara apabila Norian bersara dari perkhidmatan Polis Diraja Malaysia. Pun begitu, jasa dan pengorbannya tidak mungkin dapat dilupakan dan akan menjadi pembakar semangat kepada generasi PDRM ketika ini untuk terus berusaha meletakkan PDRM pada tahap yang membanggakan.

Para pembaca sekalian, jangan lupa untuk bersama saya lagi pada minggu hadapan untuk kita sama-sama mengenali Ketua Polis Negara Ketujuh, iaitu Tan Sri Mohd Bakri Haji Omar, yang mula memegang tampuk kepemimpinan PDRM pada 6 November 2003. InsyaAllah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 2:09 AM