(DARI kiri) Norian, Khalid, Hanif dan Ismail ketika melawat Galeri Ketua Polis Negara.
(DARI kiri) Norian, Khalid, Hanif dan Ismail ketika melawat Galeri Ketua Polis Negara.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Bahagian II

Salam Sehati Sejiwa buat pembaca yang saya muliakan. Seperti yang dijanjikan minggu lalu, saya akan menyambung artikel berhubung Galeri Ketua Polis Negara, yang mana konsepnya adalah berdasarkan kronologi peristiwa bermula daripada era Ketua Polis Negara yang pertama pada 1963, sehinggalah yang terkini.

Melangkah masuk dari pintu utama di tingkat bawah, ia dimulakan dengan sejarah Pasukan Polis dan gambar bekas Ketua Polis Negara.

• Galeri I adalah diorama pejabat Ketua Polis Negara yang mempamerkan perabot dan peralatan asal yang dibawa dari pejabat Tun Mohammed Hanif Omar, Ketua Polis Negara Keempat.

• Galeri II menempatkan artifak Tan Sri Claude Harry Fenner, Ketua Polis Negara Pertama bermula pada 16 September 1963 setelah pembentukan Malaysia. Beliau amat mementingkan kebajikan pasukan dan telah menggerakkan semula Koperasi Polis untuk berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Antara sumbangan beliau adalah mewujudkan skim pengambilan Kadet ASP, menubuhkan Pasukan Pengakap Sempadan bagi Sabah dan Sarawak dan mewujudkan perkhidmatan Peronda Lebuhraya.

Tun Mohamed Salleh Ismael merupakan Ketua Polis Negara Kedua yang dilantik pada 29 Mac 1966. Beliau adalah anak Melayu pertama yang diberi mandat untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara. Dalam era pentadbirannya, antara pencapaian beliau adalah memperkenalkan Sistem Salleh bagi tujuan melibatkan anggota masyarakat dalam sama-sama membantu usaha pencegahan jenayah, mewujudkan Sekolah Teknik Tun Salleh, Pasukan Kadet Polis dan Pasukan Sukarelawan Polis.

• Galeri III pula menempatkan artifak Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara Ketiga yang dilantik pada 1 Februari 1973 setelah Tun Mohamed Salleh bersara. Dalam era pentadbiran beliau, agenda utamanya adalah untuk mematahkan gerakan dan aktiviti komunis yang masih aktif di dalam negara. Oleh kerana itu, beliau menjadi sasaran golongan subversif ini sehingga meragut nyawanya sendiri dalam satu tragedi berdarah pada 7 Jun 1974. Sepanjang 16 bulan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara, antara program yang beliau memperkenalkan adalah konsep Balai Polis Bergerak.

• Galeri IV dimulakan dengan sudut Tun Mohammed Hanif Omar, Ketua Polis Negara Keempat yang dilantik pada 8 Jun 1974. Beliau mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada usia muda 35 tahun. Beliau juga adalah satu-satunya Ketua Polis Negara yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara yang paling lama sehingga tarikh persaraannya pada 15 Januari 1994. Antara sumbangan baktinya adalah menjayakan perjanjian perletakan senjata di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand – Parti Komunis Malaya (PKM), penubuhan Pasukan Polis Hutan Wanita (PPH – kini Pasukan Gerakan Am), Pasukan Simpanan Persekutuan Wanita (PSP), memperkemaskan Jabatan Siasatan Jenayah dan banyak lagi dalam usaha untuk memantapkan lagi pasukan polis.

Seterusnya sudut Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara Kelima pada 16 Januari 1994. Berteraskan falsafah Cepat dan Betul, beliau berjaya menggerakkan pasukan ke tahap profesionalisme yang tinggi seiring dengan ledakan teknologi maklumat di alaf baru. Beliau juga memperkenalkan uniform berwarna biru gelap, menguatkuasakan pengibaran bendera ‘Sang Saka Biru’, menaik taraf syarat kelulusan akademik kemasukan anggota pangkat rendah daripada Sijil Rendah Pelajaran kepada Sijil Pelajaran Malaysia serta inisiatif dalam menjaga kebajikan pegawai dan anggota polis.

Tan Sri Norian Mai, Ketua Polis Negara Keenam, yang berpengalaman luas di dalam Cawangan Khas, dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999. Beliau menekankan konsep perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan mesra terutama di dalam penyampaian perkhidmatan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah di mana slogan ‘Mesra, Cepat dan Betul’ diperkenalkan. Antara sumbangan lainnya adalah mewujudkan sistem SMS (Specific Material Store), Sistem Pengaduan Polis (PRS), Car Accident Reporting System (CARS) dan Trafik Cops di semua pejabat polis Trafik.

Tan Sri Mohd Bakri Omar, Ketua Polis Negara Ketujuh dilantik pada 6 November 2003. Beliau memperkenalkan Kad Kuasa yang baru dan pemakaian tudung hijab bagi pegawai polis wanita, menubuhkan Unit HRMIS (Human Resources Management Information System) bagi menggantikan Sistem KOMPOL dalam Sistem Pengurusan Sumber Manusia dan melancarkan program Rakan Cops.

Berikutnya, Tan Sri Musa Tan Sri Hj Hassan yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara kelapan pada 12 September 2006. Beliau memberi perhatian terhadap isu Integriti dan Service Delivery System, menubuhkan Unit BAKA (Bahagian Agama dan Kaunseling) di peringkat Bukit Aman, Kontinjen dan formasi. Turut memperkasakan PDRM melalui perancangan PS5T (Pelan Strategik Lima Tahun) dan juga memperkenalkan pemakaian lencana Integriti menggantikan ‘Saya Anti Rasuah’ pada uniform.

Tan Sri Ismail Hj Omar, Ketua Polis Negara Kesembilan dilantik pada 13 September 2010. Beliau mendokong aspirasi kerajaan menjadikan PDRM sebagai peneraju dalam aspek keselamatan negara. Beliau juga ingin melihat setiap ahli pasukan berfikiran kreatif dan inovatif sebagai usaha mengembalikan kecemerlangan fungsi tugas dan tanggungjawab serta meningkatkan imej pasukan. Selaras dengan itu, terlaksanalah konsep 4P iaitu Protective (Pelindung), Proactive (Proaktif), People Oriented (Penumpuan Pada Masyarakat) dan Performance and outcome oriented (Prestasi). Pusat Saringan Kesihatan Bukit Aman serta Pusat Media PDRM juga lahir di zaman kepemimpinannya. Kemampuan beliau telah diuji dengan kes pencerobohan tentera bersenjata di Lahad Datu, Sabah yang bermula pada 11 Februari 2013. Operasi Daulat (Op Daulat) dilancarkan pada 5 Mac 2013 apabila rundingan untuk menghantar penceroboh pulang ke negara asal menemui jalan buntu serta lapan orang anggota polis telah terkorban. Beliau bersama Panglima Angkatan Tentera telah bekerjasama untuk memastikan keamanan dan keselamatan awam terpelihara melalui strategi Lautan Biru (NBOS). Dengan keazaman dan semangat yang kuat, tentera penceroboh tersebut dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah. Selepas tamat perkhidmatannya di dalam PDRM, beliau diberi kepercayaan menjadi Duta Besar Malaysia di Perancis selepas menerima watikah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 13 September 2013.

Sudut Ketua Polis Negara yang terkini adalah sudut Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang akan menempatkan koleksi saya tersendiri, sebagai Ketua Polis Negara Kesepuluh. Saya juga berharap segala artifak yang bakal saya sumbangkan kepada galeri ini akan dapat meninggalkan legasi yang tidak kurang bermakna kepada generasi akan datang. Insya-Allah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 1:50 AM