TAN Sri Abdul Rahim Mohd Noor
TAN Sri Abdul Rahim Mohd Noor
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam hormat kepada pembaca sekalian. Minggu ini saya ingin menyambung siri Mengenali Ketua Polis Negara dengan KPN yang kelima, iaitu Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang dilantik menerajui tampuk kepemimpinan PDRM pada 16 Januari 1994 bagi menggantikan Tun Mohammed Hanif Omar. Abdul Rahim dilahirkan pada 6 Jun 1943 di Serkam, Daerah Jasin, Melaka dan memasuki perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 September 1969, sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis.

Pada 1 September 1981 beliau dinaikkan ke pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis II (PKP II) dan ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan/Perjawatan. Pada 1981, beliau mengikuti Kursus Manpower Planning Studies di University of Manchester, United Kingdom selama 3 bulan, diikuti kursus selama setahun di Royal College of Defence Studies (RCDS), United Kingdom pada 1983.

Sekembalinya dari berkursus, pada 3 Januari 1984 beliau ditempatkan (attachment) di Cawangan Khas Bukit Aman sehingga 20 Julai 1984, di mana beliau didedahkan kepada pelbagai bidang tugas Cawangan Khas. Pada 21 Julai 1984 beliau ditukarkan ke Selangor dan bertugas sebagai Ketua Polis dan dinaikkan pangkat PKP I pada 23 Julai 1984. Beliau bertugas di Selangor sehingga 26 November 1985. Pada 27 November 1985 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan pada 20 Januari 1986, dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas.

Beliau menempa sejarah kerana berjaya membawa Parti Komunis Malaya ke meja rundingan dan seterusnya meletakkan senjata melalui Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dimeterai di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989. Kejayaan ini hasil usaha beliau semasa mengetuai Cawangan Khas selama 3 setengah tahun.

Pelantikan Abdul Rahim sebagai Ketua Polis Negara dilihat sebagai satu kesinambungan wawasan ke arah mewujudkan profesionalisme dan era baru dalam Pasukan PDRM. Beliau terkenal dengan sikap tegas tetapi mesra dan prihatin terhadap keperluan kebajikan pegawai dan anggota PDRM. Bakat kepemimpinan dan kecemerlangan beliau dikesan awal oleh Tun Mohammed Hanif dan menjadi di antara pelapis pegawai muda yang berpotensi memegang tampuk kepemimpinan PDRM.

Sebagai KPN, Abdul Rahim memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan imej di samping memperkasakan PDRM. Tindakan beliau yang pertama, iaitu seminggu selepas pelantikannya ialah memperkenalkan pemakaian uniform baru berwarna biru gelap (dark blue) yang sesuai dan memenuhi aspirasi pasukan polis. Beliau juga menguatkuasakan semula pengibaran bendera asal PDRM yang diberi nama rasmi Sang Saka Biru kerana ia sinonim dengan fungsi tugas pasukan polis. Beliau juga memperkenalkan lagu Sang Saka Biru dan beliau turut memberi ilham lirik lagu tersebut.

Bagi memenuhi azam dan tekadnya untuk melahirkan sebuah pasukan polis yang berwibawa, jujur, efisien dan lebih berdedikasi, beliau memperkenalkan konsep CEPAT dan BETUL sebagai wadah dan landasan kepemimpinan beliau. Konsep ini diterapkan sebagai salah satu elemen pengurusan kualiti yang berorientasikan khidmat kepada orang ramai. Pendekatan ini diamalkan secara berterusan di semua bidang atau tugas dan tanggungjawab pasukan polis. Ia juga bertujuan membawa perubahan yang menyeluruh ke arah menghasilkan prestasi kerja yang lebih cemerlang.

Sebagai menghargai sumbangan yang diberikan oleh unit dalam PDRM, beliau berusaha supaya segala perjuangan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh PDRM mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan. Melalui usaha beliau, berlangsung satu peristiwa bersejarah apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Muhamad telah berkenan menganugerahkan Panji Utama kepada PDRM serta Panji-Panji lain kepada Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Polis Marin, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Unit Udara Polis dan 17 Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 11 November 1997. Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan kepada peranan dan pengorbanan PDRM dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara.

Bagi melahirkan lebih ramai pegawai dan anggota polis yang berkualiti, beliau menubuhkan sebuah maktab yang dikenali dengan nama Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (yang pada cadangan asalnya ialah Maktab Polis Bersepadu) di Cheras Kuala Lumpur, untuk memenuhi segala aspek latihan bagi pegawai kanan polis. Penubuhan maktab ini bertujuan menggabungkan kursus yang selama ini dijalankan oleh Maktab Polis Kuala Kubu Baru (KKB), Sekolah JSJ dan Sekolah Cawangan Khas di Pulapol, Kuala Lumpur. Sehubungan itu, Maktab KKB telah dijadikan pusat latihan bagi Anggota Polis Pangkat Rendah.

Masalah perumahan adalah masalah serius yang dihadapi oleh PDRM. Beliau berpendapat masalah perumahan anggota polis lebih sesuai diselesaikan dengan menyediakan kemudahan perumahan daripada diberi elaun perumahan, selain dapat dijadikan aset kepada kerajaan. Sewaktu menjadi Timbalan Ketua Polis Negara lagi, beliau telah menubuhkan satu Jawatankuasa Perumahan Kilat PDRM, yang pada awalnya memberi penekanan kepada masalah perumahan yang kritikal di Pulau Pinang, Lembah Klang dan di Johor, yang seterusnya diperluaskan lagi ke lain-lain negeri. Perumahan polis juga dilengkapi dengan surau, dewan orang ramai, tadika, padang permainan kanak-kanak dan sebuah rumah untuk kegunaan aktivitii Persatuan Keluarga Polis (PERKEP). Semuanya ini disediakan sebagai sebahagian daripada pembangunan kemanusiaan dalam PDRM.

Bagi memperbaiki mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang, Abdul Rahim telah meningkatkan skim perkhidmatan anggota polis terutamanya di peringkat rendah dengan meningkatkan kelulusan akademik daripada Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat kemasukan konstabel. Peningkatan ini adalah sejajar dengan Sistem Saraan Baru (SSB) di mana ukuran pencapaian akademik dijadikan kriteria dalam menentukan skim gaji. Bagi Abdul Rahim, dengan bebanan tugas yang digalas, risiko yang melibatkan keselamatan dan nyawa serta bebanan masa bekerja, maka sewajarnyalah skim gaji perkhidmatan anggota polis diperbaiki.

Beliau juga melihat kepada masalah kekurangan Penolong Pegawai Penyiasat yang menyebabkan berlakunya timbunan kes yang tidak dapat diselesaikan dengan segera. Dengan satu inisiatif ‘luar biasa’ beliau lakukan, berpuluh-puluh koperal telah dilantik memangku pangkat sarjan dan bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) untuk membantu menyelesaikan beban kes yang tertunggak. Langkah drastik ini berjaya mengurangkan timbunan kes trafik, jenayah dan narkotik yang sebelum itu tidak diambil tindakan. Koperal yang memangku sarjan itu tidak mendapat elaun memangku pangkat sarjan, namun mereka berjaya meningkatkan pengalaman mereka. Ramai juga yang berjaya dinaikkan ke pangkat sarjan kemudiannya.

Dalam era perkhidmatan Abdul Rahim, banyak cabaran yang terpaksa diharungi. Sepertimana yang berlaku di dalam isu Al-Arqam, beberapa orang pemimpin pertubuhan tersebut ditangkap. PDRM menerusi Cawangan Khas, mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu ini sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Pertubuhan Al-Arqam. Tindakan pemimpin Al-Arqam yang jauh menyimpang, memesongkan akidah pengikut, memutar-belitkan fatwa sehingga menjadi ancaman yang serius kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau telah menghantar pegawai dan anggota polis untuk menyertai misi anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu menyelesaikan beberapa konflik yang berlaku di negara-negara anggota. Di antara misi yang disertai ialah misi UNAVEM (Angola), UNOMOZ (Mozambique), UNOSOM II (Somalia), UNPROFOR (Croatia), UNMIBH/PTF (Bosnia) dan UNAMSIL (Sierra Leone).

Di akhir pentadbiran beliau sebagai Ketua Polis Negara, beliau terpaksa menempuh laluan sukar apabila PDRM menghadapi cabaran dari dua penjuru iaitu menjaga keamanan dan keselamatan negara ketika negara menghadapi kegawatan ekonomi dan juga wujudnya ketegangan politik dalaman apabila demonstrasi, tunjuk perasaan dan perhimpunan haram dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur. Walaupun desakan dan juga kemarahan rakyat terhadap polis terus meningkat, PDRM dengan ketaatan dan kebijaksanaan di bawah pimpinan beliau telah dapat mengawal dan memulihkan keadaan seperti sediakala.

Abdul Rahim telah bersara daripada perkhidmatan pasukan polis pada 7 Januari 1999 dengan mengekalkan PDRM di tahap yang sungguh membanggakan. Berkat usaha gigih beliau, pasukan polis menikmati pelbagai kemudahan seperti gaji dan elaun, perumahan, kenaikan pangkat dan skim perkhidmatan yang lebih baik, yang semuanya telah memberikan impak yang besar terhadap kebajikan pegawai dan anggota pasukan.

Seluruh warga PDRM akan menyanjung dan mengenang jasa dan sumbangan bakti Abdul Rahim, bukan sahaja kepada pasukan, tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.

Kita jumpa lagi di minggu hadapan di mana saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian tentang KPN yang keenam, iaitu Tan Sri Norian bin Mai. InsyaAllah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 2:35 AM