DR ZAHARI NOOR
DR ZAHARI NOOR
Hairulazim Mahmud


“CARA mengkafankan semua mayat mangsa mirip orang Islam, maka saya menganggap mayat adalah Islam,” kata Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Zahari Noor.

Beliau yang juga saksi ke-41 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis berkata, ia sekali gus sesuai dengan etnik Rohingnya dan warga Bangladesh yang tergolong dalam ciri rumpun Kaukasia yang mendominasi kawasan Asia Selatan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengenal pasti punca kematian ke atas lapan mayat yang diperiksanya berikutan ujian hanya dilakukan ke atas tulang mangsa.

Katanya, beliau yakin sekiranya bedah siasat dapat dilakukan lebih awal pada Januari 2015 iaitu sebaik sahaja penemuan kubur berkenaan, maka lebih banyak maklumat seperti penentuan punca kematian dapat diperoleh selain identiti mayat dapat dikenal pasti dengan lebih tepat.

“Terutama kepada mayat yang tempohnya kurang enam bulan ke setahun, malah mayat yang masih baharu dapat memberikan maklumat lebih tepat.

“Ini kerana proses pembusukan berlaku dengan cepat selain masih banyak tisu lembut yang kekal untuk ditentukan punca kematian. Saya juga tidak menolak semua mayat terbabit dibiarkan atas permukaan tanah dan terdedah kepada cuaca yang menyebabkan cepat membusuk berbanding dalam tanah.

“Malah, mayat juga akan cepat reput jika terdedah dengan lalat,” katanya pada hari ke-14 prosiding berkenaan di sini, semalam.

Dr Zahari berkata, apabila kubur berkenaan dijumpai dan digali, pihak berkuasa sepatutnya memanggil pakar forensik yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan tulang dan penggalian kubur.

“Pakar dan Ketua Jabatan Forensik Hospital Serdang, Dr Mohamad Azaini Ibrahim (saksi ke-40) adalah individu yang layak,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-39 iaitu Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Mohd Suhani Mohd Noor mengesahkan 104 daripada 114 mayat yang diperiksanya bercirikan Kaukasia berdasarkan laporan Jabatan Kimia.

“Jika merujuk kepada istilah di negara ini, ciri Kaukasia merujuk kepada kaum India atau Asia Selatan di India, Pakistan dan Bangladesh berdasarkan profil deoksiribonukleik (DNA),” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai kurang bersetuju dengan penggunaan istilah ‘keturunan India’ yang mungkin akan mengelirukan kerana mangsa adalah dalam kalangan etnik Rohingnya dan Bangladesh.

Pandangan Dr Mohd Suhani disokong Dr Mohamad Azaini kerana etnik India itu termasuk dalam rumpun Kaukasia.

“Antara cirinya ialah mereka mempunyai tulang hidung yang tinggi, sama seperti orang Eropah,” katanya.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mempengerusikan RCI yang turut dianggotai tujuh anggota termasuk Norian.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

NORIAN: Apa maksud keturunan India? Sama ada Rohingya atau Bangladesh ini keturunan India?

DR MOHD SUHANI: Kenyataan saya tentang keturunan India itu adalah berdasarkan laporan DNA yang saya terima dari Jabatan Kimia Malaysia di mana mereka buat analisis berhubung keturunan spesimen tulang dan saya percaya kesimpulan mereka adalah termasuk keturunan India secara umumnya.

Dan India di sini, lebih merujuk kepada kumpulan etnik Asia Selatan, jadi jika dilihat ia adalah kumpulan etnik yang besar memenuhi Pakistan, Bangladesh dan India. Profil DNA itu memanglah keturunan kumpulan India. Kaum India di Malaysia juga dari kumpulan sama iaitu kumpulan etnik Asia Selatan.

NORIAN: Kalau begitu, apa istilah paling tepat kerana ini akan menjadi isu sebab jika dilihat pada laporan yang mati itu keturunan India, nanti orang luar ingat kaum India?

DR MOHD SUHANI: Saya faham, tapi ini berdasarkan Jabatan Kimia kerana mereka menggunakan istilah itu. Kalau saya, akan guna istilah Asia Selatan, saya tidak akan guna istilah keturunan India tapi istilah datang daripada Jabatan Kimia, saya hanya melaporkan. Pecahan etnik utama dunia adalah berdasarkan kumpulan rumpun utama iaitu Caucasoid, Mongoloid dan Negroid, dan Melayu pula dalam rumpun Mongoloid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:10 AM