Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali kepada pembaca budiman. Saya berasa bangga dan berbesar hati untuk mengumumkan satu lagi inisiatif baru dalam usaha mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat yang dikenali sebagai VOLUNTEER SMARTPHONE PATROL (VSP).

Inisiatif ini diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Persidangan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diadakan pada 19 Mei 2016 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

VSP adalah satu daripada program di bawah NBOS dan PDRM dilantik sebagai agensi pelaksana program ini. Aplikasi VSP dapat diakses dan dimanfaat oleh pengguna telefon pintar, yang jumlahnya sehingga 2016 menjangkau 11 juta orang.

VSP adalah Projek Perluasan Program Rakan Cop, yang mana ‘Initiative Owner’ nya ialah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK). Inisiatif ini dilihat mampu merancakkan aktiviti pengawasan jenayah di kalangan masyarakat tempatan melalui pembabitan orang ramai sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM. Perkongsian maklumat oleh orang ramai dipermudahkan dengan penggunaan aplikasi melalui peranti telefon pintar masing-masing bagi tujuan pencegahan jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan di seluruh negara serta menanamkan sifat pencegahan jenayah, yang menjadi tanggungjawab bersama PDRM dan masyarakat.

Selain melalui talian hotline PDRM dan perkhidmatan SMS (32728) sedia ada di bawah inisiatif Rakan Cop, kini orang ramai boleh menyalurkan aduan/maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian melalui aplikasi mudah alih VSP. Sistem ini dibangunkan melalui kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan Syarikat DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, dan diterbitkan melalui portal GAMMA (Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia) (http://gamma.malaysia. gov.my/).

Kajian membuktikan pencegahan jenayah memerlukan mekanisme yang komprehensif dan momentum berterusan, untuk membendung serta menghalang jenayah. Menerusi pendekatan ini, PDRM dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan peranan yang dapat dimainkan oleh mereka, serta langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mencegah jenayah. Keberkesanan program pencegahan jenayah ini dapat merealisasikan keperluan masyarakat untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenteram serta mampu mengawal tahap ‘fear of crime’ di kalangan masyarakat.

Konsep ‘Community- Oriented Policing’ diketengahkan pucuk pimpinan PDRM untuk diaplikasi dan diadaptasi sebagai pemacu dalam usaha mencapai kelestarian keselamatan secara maksimum melalui pembabitan masyarakat. Menerusi ‘Community-Oriented Policing’ masyarakat dapat bersama-sama membantu PDRM dalam usaha memerangi dan mencegah jenayah. Keberkesanan dalam pelaksanaan konsep ini turut diaplikasikan jabatan polis di negara luar seperti ‘Neighbourhood Watch’ di Australia, ‘Base Team Policing’ di Kanada, sistem ‘Koban’ di Jepun, Sistem Pembinaan Dan Ketertiban Masyarakat di Indonesia, serta ‘Neighbourhood Police Force’ di Singapura.

Keperluan dalam mewujudkan kerjasama di antara masyarakat dan PDRM sangat penting kerana keselamatan negara dan ketenteraman awam berupaya mempengaruhi iklim politik dan ekonomi Malaysia. Negara yang bebas daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan menjamin kestabilan politik. Ini semestinya tidak akan dapat dicapai sekiranya tidak wujud pembabitan masyarakat dalam sama-sama menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

RAKAN COP adalah program berimpak tinggi yang membuktikan kesediaan masyarakat memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah. Sejak dilancarkan pada 2005, ia mendapat sambutan menggalakkan dan melalui beberapa saluran yang ditetapkan, orang ramai boleh berkongsi maklumat dan berinteraksi secara dua hala dengan PDRM.

Idea RAKAN COP diilhamkan atas kesedaran polis adalah elemen pelengkap kepada sesebuah masyarakat yang aman dan harmoni. RAKAN COP bermaksud Rakan Polis, di mana COP adalah singkatan daripada perkataan ‘copper’ yang membawa maksud tangkap atau menahan (Anglo-Saxon). Ada juga teori yang menyatakan COP adalah singkatan bagi ‘Constable On Patrol’ yang digunakan di England seawal 1846. Kini, panggilan COP yang dirujuk kepada anggota polis, digunakan di seluruh dunia kerana lebih mudah dan ringkas disebut.

RAKAN COP medium perantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat. Ia mengambil konsep mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan hubungan kukuh dengan orang ramai melalui pendekatan yang lebih jelas, lebih mudah, bersepadu dan tersusun. Program Rakan Cop adalah bersifat ‘Community Oriented Policing’ dan ‘Smart Partnership’. Pendekatan yang digunakan dengan menggalakkan pembabitan orang ramai, terutama mereka yang terbabit dengan pertubuhan masyarakat, termasuk agensi kerajaan dan swasta supaya menjadi mata dan telinga polis di samping menggalakkan interaksi dua hala antara kedua-dua pihak melalui saluran ditetapkan.

Kesan positif RAKAN COP

• Memberi didikan dan kesedaran sivik kepada masyarakat dalam pelbagai sudut keselamatan seperti mencegah jenayah dan keselamatan jalan raya.

• Mengeratkan hubungan mesra antara polis dan masyarakat. Ini sekali gus akan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada PDRM.

• Memberi maklumat tepat untuk manfaat masyarakat.

• Menanamkan sifat pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama.

Gandingan usahasama polis dan orang ramai di bawah naungan RAKAN COP untuk memerangi dan mencegah jenayah dipermudahkan melalui penggunaan sistem penyampaian maklumat dua hala, iaitu saluran HOTLINE dan SMS Polis yang dipasang di semua Pusat Kawalan Kontinjen (CCC).

Kini, dengan adanya aplikasi VSP di bawah naungan Rakan COP, masyarakat akan dapat memanfaatkan modul sedia ada yang diperkasakan lagi bagi merangkumi:

a) Sistem Aduan – Bagi menyalurkan maklumat kepada polis;

b) Laporan Balik Kampung – Bagi memaklumkan pergerakan penghuni rumah bertujuan memudahkan polis membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa; dan

c) Senarai Cawangan – Senarai alamat dan nombor telefon Ibu Pejabat Polis Kontinjen bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan perkhidmatan. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan Google Maps.

Saya menyeru orang ramai untuk memanfaatkan aplikasi VSP sepenuhnya bagi membantu PDRM memerangi dan mencegah jenayah. Sama-samalah kita berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta ini.

MASYARAKAT DAN POLIS MENCEGAH JENAYAH

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 8:47 PM