N Revathi maut digilis lori. FOTO  Asrizal Aris
N Revathi maut digilis lori. FOTO Asrizal Aris
Oleh Asrizal Aris

Tapah : Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan lori sehingga menyebabkannya terjatuh lalu digilis lori itu di simpang empat lampu isyarat kilometer 56.3 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, dekat sini, 9 pagi tadi.

Mangsa, N Revathi, 20, dikatakan dalam perjalanan dari Kampar ke Pekan Tapah cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati penungang motosikal jenis Honda EX5 itu cuba memotong lori berkenaan selepas lampu isyarat hijau.

"Akibat terlalu rapat, motosikal berkenaan bergesel dengan lori itu sehingga menyebabkan penunggang terjatuh di bawah lori lalu digilis," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 3:09 PM