Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. FOTO Juwan Riduan
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. FOTO Juwan Riduan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Dua wanita masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang lori di Kilometer 118.6 Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Simpang Lima, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, penunggang motosikal, Rosalina Salim, 18, bersama pembonceng yang belum disahkan identiti, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dikatakan dalam perjalanan dari arah Parit Buntar menghala Bagan Serai.

"Siasatan awal polis mendapati lori terbabit menghentikan kenderaannya kerana lampu isyarat di hadapan bertukar warna merah.

"Susulan itu kedua-dua mangsa yang berada di belakang gagal mengawal motosikal lalu merempuh belakang lori itu.

"Kesan pelanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kini dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya masih mengesan identiti mangsa kedua dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 11:31 PM