Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang pembonceng motosikal Sharni Hassim, 34, maut manakala suaminya Shahrizan Abu Bakar, 35, cedera ringan selepas motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Maktab Mahmud di Simpang Kuala, Alor Setar jam 9.18 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Kuala Kedah menghala ke Simpang Kuala bergesel dengan motosikal di persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan penunggang dan pembonceng hilang kawalan sebelum terbabas.

Menurutnya, mangsa wanita cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang lelaki mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 3:54 PM