GAMBAR fail, pengunjung melepaskan tanglung terbang ketika Pesta Tanglung Terbang yang disambut setiap tahun di utara Thailand. - Reuters
GAMBAR fail, pengunjung melepaskan tanglung terbang ketika Pesta Tanglung Terbang yang disambut setiap tahun di utara Thailand. - Reuters
Reuters

Bangkok: Berpuluh penerbangan ke utara Thailand bakal dibatal atau dijadual semula apabila negara itu menyambut festival tahunan Pesta Tanglung Terbang minggu depan, kata pegawai lapangan terbang, semalam.

Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, lapangan terbang utama di utara Thailand dan destinasi pelancongan popular memberitahu beberapa penerbangan bakal dibatalkan antara 12 hingga 16 November ini.

Katanya, tindakan itu diambil kerana beratus-ratus tanglung terbang yang dilepaskan ketika pesta berkenaan boleh membahayakan pesawat.

Syarikat penerbangan Thai Airways dalam satu nota kelmarin memberitahu, ia membatalkan beberapa penerbangan dari Bangkok ke Chiang Mai.

Katanya, penerbangan syarikat itu akan dijadual semula dan ditambah bagi menggantikan penerbangan yang dibatalkan pada tempoh berkenaan.

Pesta Tanglung Terbang disambut pada akhir musim tengkujuh di Vietnam dan tanglung kertas juga dilepaskan ke udara sempena menyambut fenomena bulan penuh.

Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya tidak melepaskan tanglung terbang kerana berisiko mencetuskan kebakaran dan boleh membahayakan pesawat.

Pada 2015, satu penerbangan Bangkok Airways terpaksa dibatalkan selepas satu tanglung terbang disedut ke dalam enjin pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:09 AM