PENUMPANG terpaksa keluar dari pesawat itu susulan kejadian berkenaan. FOTO Facebook Watcharapon Pethsurp / AFP
PENUMPANG terpaksa keluar dari pesawat itu susulan kejadian berkenaan. FOTO Facebook Watcharapon Pethsurp / AFP
AFP

Bangkok: Lelaki warga Kanada mencetuskan kekecohan apabila cuba membuka pintu keluar kecemasan pesawat ketika sedang menunggu untuk berlepas dengan alasan ada seseorang cuba membunuhnya.

Polis Thailand memaklumkan, lelaki berusia 40 an itu melakukan cubaan berkenaan pada Rabu iaitu, ketika menaiki penerbangan Thai Airways ke Bangkok, dari bandar utara Chiang Mai.

Menurut polis, insiden itu menyebabkan puluhan penerbangan berdepan kelewatan.

"Dia didakwa dengan dua pertuduhan yang menyebabkan kemudaratan kepada orang lain di dalam pesawat dan tidak mengikut arahan kakitangan pesawat.

"Dia memberitahu kami, dia membuka pintu kerana seseorang dalam pesawat itu cuba membunuhnya.

"Dia sangat panik," kata Timbalan Ketua Penyiasatan di balai polis Phu Ping Ratchaniwet, Nattawut Noisorn kepada AFP.

Berikutan insiden itu, polis menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada penumpang terbabit mengambil sebarang bahan terlarang sebelum menaiki pesawat atau mengalami penyakit mental.

Watcharapon Pethsurp, yang berada dalam penerbangan, menggambarkan drama itu.

"Saya duduk di bahagian belakang pesawat dan terdengar angin kencang serta jeritan dari bahagian hadapan. Keadaan jadi huru-hara.

"Lelaki itu menjerit mengatakan seorang lelaki berpakaian hitam cuba membunuhnya," katanya kepada AFP.

Selepas kejadian itu, Thai Airways mengeluarkan kenyataan mengatakan penerbangan itu berlepas lebih tiga jam lewat daripada masa yang dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 10:26 AM