SYAFIE dan Aryana di kolam air panas.
SYAFIE dan Aryana di kolam air panas.
SYAFIE, Aryana dan anggota  rombongan melawat White Temple.
SYAFIE, Aryana dan anggota rombongan melawat White Temple.
MEMBELAI harimau di Tiger Kingdom.
MEMBELAI harimau di Tiger Kingdom.
Oleh Hartati Hassan Basri

Lapan tahun lalu, Syafie Naswip dan Aryana Syed Zainal Rashid dipertemukan buat kali pertama dalam filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad.

Ketika itu usia mereka baru belasan tahun. Syafie, 14 dan Aryana, 11, tetapi filem itu menjadi tapak untuk mereka dalam dunia lakonan.

Bintang Syafie lebih menyinar apabila sekali lagi dipilih Yasmin untuk filem Talentime, kemudian pelakon berbakat ini berpeluang menimba pengalaman dengan pengarah lain seperti Nur Kasih, Juvana dan Songlap serta banyak telefilem dan drama.

Ada juga karya menggandingkan mereka berdua selepas Mukhsin. Bermula dengan iklan Silky Girl, mereka digandingkan pula dalam Budak Flat Jalan Bayan, kemudian Ride.

Syafie, 22, akui mereka serasi bersama sejak kali pertama dipertemukan ketika uji bakat Mukhsin dan terus rapat sepanjang penggambaran filem itu.

Malah, apabila ada tawaran menggandingkan mereka berdua, pasti tidak mahu dilepaskan. Begitu juga apabila ditawarkan syarikat tambang murah AirAsia mengikuti rombongan ke Chiang Mai, Thailand dari 31 Oktober hingga 2 November, Syafie terus bersetuju apabila dimaklumkan acara itu turut disertai Aryana. Begitu juga Aryana, terus kata ya apabila dimaklumkan Syafie turut diundang bersama.

"Ada kalanya kami berangan menjadi seperti pasangan Hollywood, Kate Winslet dan Leonardo DiCaprio yang menjadi popular selepas membintangi filem Titanic. Malah, kami turut berangan-angan berlakon filem ala Titanic.

"Ketika uji bakat Mukhsin, Yasmin meminta saya pilih siapa gandingan yang saya mahu antara Aryana dan seorang lagi calon. Ketika itu saya serba salah memilih satu antara dua, tapi akhirnya memilih dia.

"Cara sama digunakan Yasmin kepada Aryana dan dia memilih saya," katanya.

Kata Syafie, banyak kenangan manis dilalui sepanjang penggambaran Mukhsin. Malah, ada yang bertanya apakah mereka bercinta atau dia sukakan Aryana, tetapi dia tidak tahu perasaannya terhadap Ayrana.

"Yang pasti, saya gembira bekerja dengannya. Itu sebabnya kalau ada tawaran berlakon bersama, kami tidak akan lepaskan peluang itu.

"Apabila selesai penggambaran, kami bawa haluan masing-masing kerana jarang berhubung. Selepas sekian lama, bertemu kembali," katanya.

Mereka juga teruja berpeluang meneroka Chiang Mai bersama kerana kali pertama menjejak kaki ke bandar kedua terbesar di Thailand itu.

Shafie dan Aryana menjadi pilihan AirAsia kerana mahu kelainan dan memberi peluang kepada artis remaja untuk turut serta dalam program mereka kali ini. Jika selama ini peluang itu diberi kepada penyanyi dan pelakon senior, kali ini gandingan pelakon Mukhsin ini jadi pilihan.

Mereka juga ingin mengimbas kembali kenangan mereka berdua berlakon filem Mukhsin dan mahu melihat bagaimana keadaan mereka selepas lapan tahun.

Kata Aryana, 19, dia pernah ke Bangkok tetapi bagi Syafie, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Thailand.

"Sebenarnya, saya ada peperiksaan pada Khamis dan sangat bersyukur apabila dimaklumkan percutian bermula pada Jumaat.

"Buat masa ini saya tiada penggambaran kerana sibuk dengan pelajaran dan hanya ambil tawaran pada waktu cuti," katanya yang kini belajar di Universiti Sunway.

Berada dalam lingkungan keluarga seni daripada ibunya, Fatimah Abu Bakar dan kakaknya, Syarifah Aleya dan Sharifah Amani, Aryana banyak belajar daripada mereka.

Katanya, dia juga yakin dengan industri seni tanah air hingga memilih seni lakon untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sunway.

Selain lakonan, Ayrana yang mesra dipanggil Yana berminat dalam bidang pengarahan dan penerbitan. Jika ada peluang, dia ingin melanjutkan pelajaran ke New York, Amerika Syarikat kerana ia pusat seni dunia.

Syafie juga tidak melepaskan peluang bercuti ke Chiang Mai kerana tidak terbabit dengan penggambaran tetapi sehari selepas pulang, akan terus ke Taiping, Perak untuk penggambaran siri Dari Kerana Mata arahan Rashid Sibir.

Katanya, dia menjadi pelajar universiti yang membuat kajian mengenai seorang lelaki yang taksub dengan penyanyi lama, R Azmi hingga hafal lagunya selain berpenampilan sepertinya.

Ternyata sepanjang tiga hari di Chiang Mai, Syafie dan Yana tidak berenggang. Di mana ada Syafie, di situ ada Yana dan mereka sering bersenda gurau. Syafie juga tiada masalah berkawan dengan rakan Yana, Nina yang turut menemaninya ke Chiang Mai.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai jam 9.30 pagi, rombongan disambut pemandu pelancong, Bobby dan terus dibawa meneroka keindahan alam semula jadi Chiang Mai ke Kolam Air Panas yang lebih sejam perjalanan, kemudian ke White Temple juga lebih sejam perjalanan.

Sebelah malam, mereka menikmati hidangan makanan halal dari Thai Utara di Khum Kan Toke sambil dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan.

Di sini, Syafie dan Yana melepaskan lentera (tanglung) dengan bayaran RM10 (100 bath) yang disifatkan antara detik paling menarik dan penuh simbolik, selain berpeluang mendekati harimau di Tiger Kingdom.

Tempat lain ialah melihat gajah melukis di Mae Taeng Elephant Camp dan meninjau kehidupan masyarakat asli Myanmar di Long Neck Village di Mae Taeng. Di sini, makanan halal turut disediakan secara bufet untuk mengunjung.

Lokasi lain, melawat kuil kerana di sini mempunyai lebih 300 kuil seperti Chedi Luong Temple dan Doi Sutep Temple.

Turut sama dalam rombongan, Pembantu Peribadi Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Edd Razhe, Ketua Komunikasi AirAsia, Aziz Laikar dan Ketua Pemasaran Komersial AirAsia X, Fairuz Majid serta lima wakil media dari Metro Ahad, Berita Harian, New Straits Times, Melodi dan majalah Saji.

Chiang Mai yang terletak di utara Thailand kini menjadi antara destinasi pilihan rakyat Malaysia selain Bangkok, Phuket, Hadyai dan Krabi. AirAsia menyediakan penerbangan dua kali sehari ke Chiang Mai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:15 AM