Semarang: Pimpinan Muhammadiyah Jawa Tengah menafikan organisasi itu mengharamkan Muslim mengucapkan selamat Natal kepada penganut Kristian.

Organisasi tertua yang ditubuhkan di Jogjakarta pada 1912 itu mendakwa, mereka belum pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan umat Islam memberi ucapan meraikan penganut Kristian.

Setiausahanya, Tafsir berkata, jika ada yang berpendapat haram melakukan perbuatan itu, ia adalah pendirian peribadi yang bersandar kepada pendapat Allahyarham Hamka.

“Fatwa itu dibuat Hamka atas kapasitinya sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia pada 1980-an,” katanya.

Namun, kata Tafsir, hingga kini Muhammadiyah tetap memberi kebebasan kepada pengikutnya untuk mengucapkan selamat Natal kepada penganut Kristian atau tidak kerana sikap itu menjaga toleransi sesama penganut agama yang berbeza.

Setiausaha Majlis Ulama Indonesia Jawa Tengah, Ahmad Rofiq berkata, mereka masih menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tersohor itu, tetapi berpendapat isu berkenaan tidak perlu dipanjangkan bagi menghormati hak-hak umat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:05 AM