GAMBAR hiasan, suasana di Masjidilharam, kelmarin.  - Brunei Islam
GAMBAR hiasan, suasana di Masjidilharam, kelmarin. - Brunei Islam
AP

New York: Sejak sekian lama, penganut Kristian di seluruh dunia melahirkan lebih ramai bayi berbanding penganut agama lain.

Bagaimanapun, menjelang 2035, kadar kelahiran dalam kalangan Muslim dijangka lebih tinggi, kemungkinan menjadikan jumlah penganut kedua-dua agama itu dalam populasi dunia hampir sama pada 2060, menurut analisis demografi yang diumumkan semalam.

Menurut Pusat Kaji Selidik Pew, dengan 2.3 bilion penganut, Kristian akan menjadi kumpulan agama terbesar dunia dan akan kekal begitu selama beberapa dekad akan datang.

Dalam laporannya yang berjudul The Changing Global Religious Landscape, pusat berkenaan berkata, penganut Islam yang berjumlah 1.8 bilion akan merapatkan jurang dengan ledakan bayi dalam kalangan mereka.

Menjelang 2060, Muslim dijangka mewakili 31 peratus populasi dunia dengan jumlah hampir tiga bilion orang sementara Kristian akan mewakili 32 peratus atau 3.1 bilion orang.

Laporan terbaru itu dilakukan berdasarkan hasil kajian Pew dua tahun lalu yang mendapati Islam agama paling cepat berkembang di dunia.

Analisis yang dilakukan itu berdasarkan pada 2,500 bancian, kajian dan pendaftaran populasi di seluruh dunia.

Ia juga mengambil kira kadar penukaran agama tetapi berkata, jumlah kelahiran dan kematian akan memberi kesan lebih besar terhadap populasi agama.

Berdasarkan laporan terbaru itu, 223 juta bayi dilahirkan penganut Kristian antara 2010 dan 2015 sementara Muslim melahirkan 213 juta.

Menjelang 2035, jumlah bayi yang dijangka dilahirkan Muslim diunjurkan melebihi Kristian.

Penganut agama lain, termasuk Hindu dan Yahudi, juga akan berkembang pada 2060 tetapi bilangan mereka tidak akan menjangkau populasi Muslim dan Kristian.

Menurut kajian itu, Kristian berkembang khususnya di benua kecil Sahara Afrika. Menjelang 2060, empat daripada 10 penganut agama itu tinggal di Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 5:54 AM