BARISAN pelakon teater muzikal Mak Cun D’Walei bersedia memberikan persembahan terbaik.
BARISAN pelakon teater muzikal Mak Cun D’Walei bersedia memberikan persembahan terbaik.
AKSI pelakon ketika sesi latihan di Istana Budaya, baru-baru ini.
AKSI pelakon ketika sesi latihan di Istana Budaya, baru-baru ini.
PENAMPILAN pertama kali Amy Search dalam teater menjadikan Mak Cun D’Walei lebih istimewa.
PENAMPILAN pertama kali Amy Search dalam teater menjadikan Mak Cun D’Walei lebih istimewa.
Ramlah Zainal


Bukan saja ada kelainan, teater muzikal Mak Cun D’Walei turut menampilkan model terkenal dan pelakon kacak dari Pakistan, Saim Ali sebagai tarikan utama kepada penonton.

Pengarahnya, Erma Fatima berkata, penampilan Saim sesuai dengan kehendak jalan cerita pementasan kali ini yang bertemakan Bollywood.

“Sepanjang latihan, saya berpuas hati dengan komitmen terbaik yang diberikan Saim untuk merealisasikan pementasan ini. Dalam tempoh dua hari, Saim sudah berjaya berlatih lagu dengan baik. Roh tariannya berbeza dengan orang kita. Kalau ada pun kekurangan, Saim tidak tinggi iaitu kriteria yang diperlukan untuk menjadi hero dalam teater ini,” katanya.

Jika pementasan tahun lalu memaparkan Mak Cun dan kawan-kawannya di kampung, kali ini ia membabitkan penggambaran di India.

“Sesi latihan teater ini sudah bermula sejak 10 Oktober lalu sehingga menjelang pementasan ini. Apa yang mencabar, Mak Cun dan kawan-kawannya juga dicabar untuk menari tarian Bollywood dalam cerita ini.

“Maklumlah, tarian Bollywood memerlukan banyak stamina dan pastinya ia mencabar kami yang sudah agak berusia dan tidak pandai menari ini. Ada lapan lagu Bollywood yang dimuatkan dalam teater ini,” katanya.

Ditanya harapannya pada pementasan itu, kata Erma, dia berharap penonton akan memberi sokongan pada pementasan itu sekali gus dengan naskhah berkenaan.

“Walaupun jalan ceritanya ringan, ia tetap memiliki mesej yang tersirat untuk disampaikan pada penonton.

“Saya tidak bimbang dengan tanggapan orang sebaliknya cabaran kepada diri sendiri. Apa yang penting, saya mahukan orang datang dan terhibur pada pementasan,” katanya.

Penampilan Amy Search, Fathia dan Abam Bocey

Pementasan Mak Cun D’Walei turut menampilkan gandingan barisan artis iaitu Amy Search, Nur Fathia dan Abam Bocey sekali gus memantapkan lagi naskhah ini.

Menurut Erma, dia menampilkan barisan pelakon yang baru untuk memberi kelainan pada jalan ceritanya.

“Jalan cerita kali ini memaparkan bagaimana Mak Cun dan usahawan kampung bergelumang dengan perniagaan di bazaar dan bersaing dengan golongan artis iaitu Fathia yang menjual tudung dan Amy pula menjual asam pedas.

“Pastinya, peminat akan membeli barangan yang dijual golongan artis berbanding barangan yang dijual usahawan kampung dan industri kecil itu. Usahawan kampung juga sedih apabila barangan yang dijual tidak laku. Mak Cun juga berasa ada kelemahan pada produk mereka dan berkunjung ke India untuk meningkatkan kualiti rempahnya.

Lebih menarik, kata Erma, dia juga akan berduet dengan Amy Search lagu Aku Dah Bosan dalam teater itu.

“Selain persembahan secara langsung, ada enam lagu Melayu turut dimuatkan dalam pementasan ini. Ada seramai 20 barisan penari dari India turut menjayakan pementasan ini,” katanya.

Mengenai penampilan Abam pula, kata Erma, dia juga terharu dengan komitmen diberikan pelawak popular berkenaan.

“Abam melakonkan watak abang kepada Saim dalam teater ini. Abam juga perlu berdialog dalam bahasa Inggeris dengan Saim dan menari tiga lagu tarian Bollywood. Pada pandangan saya, Abam juga pelawak yang menghormati skrip kerana dia berjaya melakonkan babak sedih yang mampu menyentuh hati saya sedangkan dirinya pelawak,” katanya.

Mak Cun D’Walei bakal menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya bermula esok hingga 13 November depan.

Teater muzikal ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Balkish Semundur Khan dan Nadia Brian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:59 AM