DARI kiri, Rahim, Balqis, Erma dan Dafi pada sesi latihan teater Mak Cun di Istana Budaya.
DARI kiri, Rahim, Balqis, Erma dan Dafi pada sesi latihan teater Mak Cun di Istana Budaya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sabtu ini teater Mak Cun yang diadaptasi daripada drama bersiri Mak Cun bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 22 November depan.

Sebelum ini ada segelintir peminat menghentam apabila loghat Kedah yang digunakan barisan pelakon siri popular itu dikatakan kurang tepat. Berikutan itu, pengarah dan penerbit ternama, Erma Fatima berazam memperbaiki kelemahan itu.

Dalam erti kata lain, dia tidak mahu ‘melacurkan’ loghat negeri itu sehingga menjadi perdebatan banyak pihak.

“Saya sedar ramai kritik loghat dan perkataan yang digunakan dalam drama ini. Nak buat macam mana, semua pelakon bukan anak jati Kedah.

“Kami akan cuba kurangkan kesilapan. Untuk dapatkan kesempurnaan agak susah. Perkataan mungkin boleh diselamatkan lagi, tetapi loghat agak sukar,” katanya.

Tambah Erma, dia beruntung kerana sepanjang sesi latihan ramai kenalan dan pasukan teater Mak Cun berasal dari Kedah membantu memperbetulkan kesilapan penggunaan perkataan dan loghat negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Erma yang memegang watak Mak Cun memberitahu semua pelakon dan kru produksi sudah bersedia beraksi di pentas berprestij itu.

“Minggu pertama latihan agak berkecamuk kerana pada masa sama saya terikat dengan Konsert Ku Mohon Tuhan Beri Aku Cinta dan Anugerah Skrin 2015.

“Selepas itu, semuanya kembali seperti biasa. Saya puji barisan pelakon kerana sangat komited. Memandangkan teater ini banyak menggunakan eleman tarian, jadi mereka terpaksa menari,” katanya.

Menurut Erma, sesi latihan dibahagi kepada dua sesi iaitu petang untuk tarian dan malam pula lakonan.

“Ini kali pertama sepanjang hidup saya perlu menari. Ditambah dengan usia yang semakin meningkat, memang sakit lutut dibuatnya.

“Tapi saya tak ada alasan untuk mengelak sebab pelakon lain pun lakukan perkara sama. Alhamdulillah, dari sehari ke sehari, mereka menunjukkan peningkatan,” katanya.

Meskipun tarian ditekankan dalam pementasan ini, Erma masih mementingkan kualiti lakonan.

“Lakonan masih menjadi keutamaan, tarian sekadar selingan untuk hiburan.

“Apa saya boleh katakan, teater ini adalah kesinambungan telefilem Mak Cun Sawadekap. Daripada teater ini juga akan dibawa kepada penerbitan drama Mak Cun 2,” kata­nya.

Ditanya berkenaan pembabitan aktres hebat, Ogy Datuk Ahmad Daud dalam pementasan ini, kata Erma sambil tersenyum: “Insya-Allah, kita tunggu saja kemunculannya. Saya sendiri pun tak sabar nak kembali berlakon dengannya.”

Selain Erma, teater Mak Cun turut dibintangi Balkish Semundur Khan, Datin Sri Umie Aida, Nora Danish, Datuk Rahim Razali, Ungku Ismail dan Dafi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 5:00 AM