AHMAD Shabery melancarkan Perkampungan Mak Cun.
AHMAD Shabery melancarkan Perkampungan Mak Cun.
Syafil Syazwan Jefri


Siapa sangka, daripada sekadar drama yang diangkat naskhahnya ke pentas teater, jenama Mak Cun kini kian kukuh menerusi penganjuran Perkampungan Mak Cun di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) pada 1 hingga 11 Disember ini.

Bagi pengarah dan pencetus idea yang berjaya merealisasikan watak Mak Cun, Erma Fatima, dia mempunyai objektif yang ingin dicapai selain menghiburkan penonton dengan aksi mencuit hati menerusi drama dan pementasan teater.

“Saya ingin membantu usahawan desa supaya mengembangkan produk keluaran mereka. Menjelang MAHA 2016, 20 produk di bawah jenama Mak Cun akan dilancarkan.

“Antara produk itu adalah Farmstay Mak Cun iaitu penginapan melibatkan pertanian di Kedah, sawah padi organik yang akan menghasilkan beras perang dan pelbagai produk organik lain,” kata Erma.

Selain itu, Erma juga ingin mengangkat karakter Mak Cun agar menjadi idola usahawan desa.

“Salah satu impian saya sejak awal lagi adalah menjadikan Mak Cun sebagai idola. Walaupun ia hanyalah watak dalam lakonan, saya cuba mengangkat ia menjadi contoh buat masyarakat,” katanya.

Perkampungan Mak Cun dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Istana Budaya sempena pementasan teater muzikal Mak Cun D’walei baru-baru ini.

Shabery yakin Perkampungan Mak Cun akan menjadi salah satu daya tarikan utama MAHA 2016 kerana ia menepati cita rasa semua pihak.

“Selepas hampir setahun perbincangan diadakan di antara pihak kementerian dan Erma, kami bersetuju merealisasikan idea Perkampungan Mak Cun di MAHA.

“Ini sekali gus menjadi satu ciri yang unik di MAHA 2016 dan saya yakin karakter Mak Cun itu sendiri dekat di hati masyarakat. Antara aspek baru lain yang ditekankan di MAHA pada tahun ini adalah Agro-tainment yang menggabungkan pertanian dan hiburan,” katanya.

Selain itu, Shabery turut memaklumkan hasrat menarik minat golongan muda untuk turut serta dalam bidang pertanian.

MAHA 2016 bakal berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya gerai jualan dan persembahan artis jemputan seperti Ramli Sarip dan Upin & Ipin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 10:58 AM