SHEEDA (kiri) mahu Aleen terus hidupkan dangdut.
SHEEDA (kiri) mahu Aleen terus hidupkan dangdut.
Oleh Nor Akmar Samudin

Lebih 20 tahun Sheeda berjuang memartabatkan irama dangdut, ia terus sebati dalam dirinya dan dia tidak mahu irama itu lenyap begitu saja.

Lantaran itu dia mahu anaknya, Nurfazlinda Fazli, 14 atau Aleen meneruskan legasinya itu.

Sebagaimana remaja lain tentu saja Aleen meminati muzik moden, namun ia bukan masalah besar kepada Ratu Dangdut itu untuk memujuk anak gadisnya mencuba irama dangdut yang disuntik elemen muzik moden.

"Walaupun jualan album lembap tetapi industri muzik sebenarnya berkembang apabila penggiat seni sentiasa mencari pembaharuan agar lagu mereka diterima pendengar.

"Bukan aneh lagi irama tradisional digabungkan dengan muzik moden demi mencipta kelainan serta untuk 'menjemput' peminat baru meminati irama klasik," katanya.

Sheeda berkata, dia mahu Aleen menjadi 'trend setter' kepada irama dangdut moden supaya dapat menarik peminat muzik sebayanya.

"Dia juga tidak membantah hasrat saya itu. Namun, saya sedar minat remaja seperti Aleen yang tidak boleh lekang dengan muzik pop dan hip hop, maka kedua-dua elemen muzik itu saya masukkan dalam lagu dangdut yang akan dirakamnya," katanya yang juga akan menyanyi bersama anaknya dalam lagu berkenaan.

Menurut Sheeda, lagu ciptaan Wan Ramada itu masih dalam proses awal dan sementara Aleen belum dikenali, dia akan berduet dengan anaknya itu dan hanya mahu 'melepaskan' Aleen selepas dia dikenali nanti.

"Sebagai persiapan untuk menjadi penyanyi dan penghibur, saya hantar Aleen belajar vokal dan teknik nyanyian dengan Wan Ramada. Dari segi corak persembahan dan sebagainya, saya yang akan mengajarnya," katanya.

Aleen yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dua tahun lalu bercita-cita untuk menjadi doktor dan kecenderungannya terhadap seni yang mengikut jejak ibunya dan kakaknya, Bienda tidak akan mengganggu pelajarannya.

"Saya merestui cita-cita Aleen tetapi pada masa tidak salah sekiranya Aleen ada kecenderungan terhadap bidang lain. Ia boleh menambahkan lagi pengalaman hidupnya untuk berhadapan dengan masyarakat dan dapat merencanakan masa depannya dengan baik," katanya.

Menurut Sheeda, dia tidak berani untuk mencuba pembaharuan irama dangdut moden itu dengan penyanyi lain.

"Sebagai permulaan biarlah Aleen yang cuba dulu. Untuk lagu kedua Aleen, saya mahu komposer Eddie Hamid mencipta lagu dangdut Melayu untuknya. Dengan pembaharuan irama dangdut ini, Aleen tidak perlu bergelek sakan di pentas yang boleh mencetuskan kontroversi.

"Saya juga memasang impian agar Aleen dapat berduet dengan DJ Fuzz. Saya mahu buktikan dangdut boleh pergi dalam semua kategori muzik. Saya mahu irama dangdut terus hidup dan diterima ramai," katanya.

Persembahan di Kedah

Selepas dijemput membuat persembahan bersama Haiza dan Ramlah Ram di Anugerah Industri Muzik 2014 baru-baru ini, Sheeda bakal membuat persembahan di Karnival Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Napoh, Jitra, Kedah pada 26 hingga 28 Disember ini.

Turut membuat persembahan ialah Datuk M Daud Kilau, Ibnor Riza dan Seri Kilauan Emas di pekarangan RTC berkenaan.

Karnival RTC Kedah yang bermula pada 20 Disember hingga 31 Disember ini turut mengetengahkan pelbagai aktiviti jualan pelbagai produk. Ia adalah kesinambungan kepada Karnival Jom P Niaga D'Napoh yang diadakan pada 2012 dan 2013.

Turut diadakan ialah jualan orkid, pakaian, produk industri kecil dan sederhana (IKS), peralatan sekolah, demonstrasi masakan, pertandingan burung merbah jambul dan murai.

Ia termasuk pertunjukan main ular dan api, autoshow, pertandingan kereta Tamiya, cabutan bertuah dan Idola RTC Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:03 AM