Syafil Syazwan Jefri


Hebat, lengkap dan menghiburkan!

Itu tiga kata yang mampu menggambarkan Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang Misha Omar yang berlangsung di Istana Budaya (IB) pada Sabtu lalu.

Secara tak langsung, acara konsert berskala besar di pentas berprestij itu mengubat kerinduan ramai peminat untuk kembali menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka yang mesra dengan sapaan Kak Mitch ini.

"Konsert ini umpama kemuncak dalam perjalanan karier seni saya selama 20 tahun," kata Misha membuka sesi wawancara.

Dalam pada rasa teruja bercampur puas dengan kejayaan konsert itu, dapat didengar dengan jelas ada suntikan emosi dalam nada suara penyanyi berusia 39 tahun itu.

MISHA ubat kerinduan peminat.
MISHA ubat kerinduan peminat.

"Saya memanjatkan kesyukuran dan rasa terima kasih kepada pihak IB dan OSK. Saya juga terhutang budi kepada dua guru saya iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat yang kedua-duanya saya panggil cikgu.

"Mereka umpama permata berharga buat saya yang membentuk saya supaya menjadi anak seni yang lebih baik," katanya.

Misha juga mengambil peluang sesi wawancara untuk mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepadanya.

"Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada peminat-peminat yang sanggup beratur berjam-jam untuk membeli tiket.

"Kita tahu, dalam situasi pandemik seperti yang berlaku hari ini, ramai yang perlu berfikir berkali-kali sebelum mengeluarkan belanja terutama untuk membeli tiket.

"Namun, mereka (peminat) tak pernah berkira dan sanggup beratur beli tiket untuk menonton persembahan saya. Itu adalah penguat semangat untuk saya dan rasa terhutang budi kepada mereka," katanya.

TERUJA bercampur puas dengan kejayaan Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang Misha Omar.
TERUJA bercampur puas dengan kejayaan Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang Misha Omar.

Siapa sangka, di sebalik acara konsert yang boleh dianggap sebagai kejayaan besar pada malam itu, Misha sebenarnya pernah meragui kemampuan dirinya sendiri.

"Dari awal lagi, saya sebenarnya ragu-ragu dengan kemampuan diri saya sebab dah lama tak naik pentas dan membuat persembahan. Projek usahasama antara saya dengan OSK ini umpama perjumpaan semula dengan saudara terutama, Nasran Nawi yang memimpin 80 pemuzik orkestra.

"Apabila orang lain lebih percayakan diri saya berbanding saya sendiri, saya berbisik kepada diri bahawa kena buat yang terbaik. Saya yakin, saya berada dalam tangan dan bimbingan orang-orang yang terbaik," katanya.

Gabungan tiga tangan seni - Ramli, Syafinaz dan Nasran membuatkan pemilik nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar ini menghela nafas lega.

"Berada dalam tangan ketiga-tiga individu ini membuatkan saya rasa sangat lega. Cikgu Syafinaz selaku guru vokal, Tok Ram (Ramli) selaku pengarah muzik dan Nasran sebagai ketua orkestra bergabung untuk membimbing saya.

"Apa yang anda semua tonton adalah hasil kerja keras semua terbabit untuk konsert ini dan sejak Rabu lagi, saya sudah memulakan sesi raptai dari petang sehingga malam, setiap hari.

"Semua 12 lagu saya persembahkan berulang kali untuk memastikan semuanya berjalan lancar antara nyanyian saya dengan muzik daripada pemuzik OSK ini.

RAMLI MS memainkan piano mengiringi persembahan Misha.
RAMLI MS memainkan piano mengiringi persembahan Misha.

"Secara keseluruhan, persiapannya memakan masa selama sebulan dan untuk individu yang bergelar ibu yang sudah lama duduk di rumah seperti saya, ia menjadi cabaran yang sangat besar," katanya.

Antara segmen yang mencuri perhatian adalah 'tribute'

untuk tiga penyanyi iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

"Antara segmen yang paling mencabar adalah 'tribute', ini kerana di samping menyanyi, saya perlu sesuaikan dengan karakter lagu mereka.

"Untuk Allahyarham Sudirman, dia adalah penyanyi hebat dan saya mengagumi kemampuannya mempersembahkan lagu berentak balada.

"Untuk mendendangkan lagu Kak Pah (Sharifah Aini) pula, saya tahu suara tidak semerdu suaranya. Jadi, dalam pada menyanyikan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru, saya masukkan rasa dan kisah cinta," katanya.

Berbicara mengenai persembahan lagu sahabat baiknya, Sarah, Misha mempersembahkan lagu Kesetiaan dengan mengekalkan cara nyanyian asli penyanyi itu.

"Cikgu Syafinaz berkata, ini adalah lagu sahabat saya dan saya tahu apa yang dia buat ketika menyanyikan lagu ini. Cara nyanyian asal Sarah yang menyentuh hati semua peminatnya.

"Jadi, saya kekalkan rendisi nyanyian Sarah dalam lagu Kesetiaan dan pada masa sama, saya menggabungkannya dengan elemen 'Misha Omar' yang saya ada," katanya.

Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang Misha Omar menampilkan 12 lagu hebat nyanyiannya dan tiga lagu 'tribute' untuk bintang kesayangannya.

Pentas dibuka dengan persembahan lagu 'instrumental medley' dendangan OSK dan selepas itu, kemunculan Misha diserikan dengan persembahan lagu 'medley' Adam dan Hawa serta Terimaku Seadanya, seterusnya medley Jawapanmu dan Sembunyi.

Selain itu, Misha juga mempersembahkan lagu popularnya yang lain antaranya Bunga-bunga Cinta, Dedebu Cinta, Tiada Lagi Tangisan, Nafas Cahaya, Ku Seru, Pulangkan, Tanpa Rela dan menutup pentas dengan lagu Sampai Bila.

Tidak hanya dihadiri peminat, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang Misha Omar juga dimeriahkan dengan kehadiran keluarganya serta barisan artis popular tanah air antaranya Datuk M Nasir, Adibah Noor, Wany Hasrita, Salamiah Hassan dan ramai lagi di samping kemunculan Ramli MS di pentas, memainkan piano untuk beberapa lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:00 AM