London: Manchester City mampu mencetus tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana, Chelsea buat kali pertama musim ini jika berjaya menundukkan kelab bermasalah Crystal Palace, malam esok.

Ketika Chelsea hanya turun menentang Stoke City di laman lawan awal pagi Selasa ini, kemenangan City di Stadium Etihad ke atas Palace yang tidak menang empat perlawanan terakhir Liga Perdana, akan membantu kelab juara itu mengikat kedudukan dengan anak buah Jose Mourinho, 39 mata.

Selepas ketinggalan lapan mata berbanding Chelsea musim ini, City menang lima perlawanan terakhir liga dengan jaringan Frank Lampard menghadiahkan kemenangan 1-0 buat anak buah Manuel Pellegrini ke atas pasukan tercorot Leicester hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, City akan tampil tanpa penyerang sebenar menentang pasukan tangga ke-16 Palace ketika Sergio Aguero, Stevan Jovetic dan Edin Dzeko semuanya mengalami kecederaan, manakala kapten dan kunci utama pertahanan Vincent Kompany dikeluarkan di Leicester kerana kecederaan hamstring.

Sekalipun tidak banyak mempunyai pilihan di bahagian depan, Pellegrini yakin skuadnya mampu menjaringkan gol menentang Palace kendalian Neil Warnock.

“Kami akan melatih pemain yang boleh beraksi di posisi itu minggu ini,” jelas Pellegrini. “Ketika ini kami cuba memulihkan semua pemain kerana kami tidak mempunyai penyerang.

“David Silva, Samir Nasri dan pemain tengah lain boleh menjaringkan gol dan kami perlu mencari jalan terbaik untuk beraksi hinggalah penyerang kami pulih.”

Chelsea yang menundukkan pelawat Hull City 2-0 hujung minggu lalu, tidak berdepan masalah penyerang namun selepas membenarkan City merapatkan kedudukan, pemain tengah Cesc Fabregas meminta rakan sepasukan supaya terus meningkat dalam usaha menjulang kejuaraan.

“Anda pasti boleh meningkat,” ujar pemain Sepanyol itu dalam laman web kelab (www.chelseafc.com). “Kami sedar mengenainya dan cuba meningkat dalam latihan dengan melakukan apa saja yang diarahkan pengurus.

“Setiap orang amat fokus dan setiap pemain amat profesional. Dua atau tiga minggu akan datang amat penting dan kami perlu bersedia menanganinya.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:10 AM