London: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini (gambar) menyindir Jose Mourinho dengan mendakwa beliau tidak mahu memenangi kejuaraan Liga Perdana seperti kelab bakal juara Chelsea.

Blues kendalian Mourinho boleh memastikan kejuaraan jika menundukkan Crystal Palace malam ini.

Pellegrini bukannya peminat taktik berhati-hati diamalkan Mourinho.

Pengendali Chile berusia 61 tahun itu menganggap kelab barat London itu bermain ‘seperti pasukan kecil’ selepas kedua-dua pasukan seri di Eastlands, September lalu.

Pellegrini lebih sukakan pendekatan terbuka dan dengan kejuaraan makin sukar digapai, beliau mengkritik Mourinho hanya beberapa hari selepas bos Blues itu mendakwa City patut dikenakan penalti dengan ditolak mata kerana gagal mematuhi peraturan kewangan UEFA.

“Kami menang sama seperti Chelsea lakukan tahun ini dengan cara berbeza musim lalu, sudah tentu cara yang berlainan,” jelas Pellegrini kelmarin.

“Saya sering cuba memikirkan cara sama apabila kami kalah atau menang. Apabila kami bermain menentang Chelsea, saya berasa seperti kami menentang pasukan kecil dengan pemain yang bagus.

“Bagi saya, pasukan besar yang menguasai pegangan bola mesti cuba menjaringkan banyak gol, mesti sentiasa cuba menang.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:55 AM