Mya rasa diperkotak katik. FOTO NSTP
Mya rasa diperkotak katik. FOTO NSTP
Nor Akmar Samudin & Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Jangan buat diri saya macam tak ada nilai. Sejak Gegar Vaganza musim kedua (GV2), produksi Astro panggil saya untuk diujibakat dan ketika itu nama saya disebut-sebut sebagai peserta. Namun, apabila nama peserta diumumkan, saya tiada dalam senarai. Pihak produksi tak beritahu pun sehingga saya terpaksa menghubungi mereka,” kata Mya yang sebelum ini dikenali sebagai Maya Matahari.

Menurut Mya lagi, pada sesi ujibakat GV3 sekali lagi dia dipanggil dan perkara sama berulang.

"Sekali lagi nama saya digembar-gemburkan kononnya ada dalam senarai peserta GV3 hingga ramai rakan artis bertanya bila keputusan akan diumumkan. Tiba-tiba Astro sudah umumkan 12 peserta.

"Saya tidak kecewa jika sudah tertulis tiada rezeki tetapi terkilan kerana Astro tidak menghubungi saya untuk maklumkan terpilih atau sebaliknya. Saya masih ada harga diri,” katanya. Mya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee, 40, memaklumkan sejak GV2 lagi terasa dirinya diperkotak-katikkan Astro.

"Saya diundang berduet dengan peserta GV2 yang berjaya ke final tetapi selepas lagu diberi dan baju siap ditempah, Astro beritahu tak jadi dengan alasan peserta itu sudah ada calon pilihan.

“Selepas itu, mereka jemput saya lagi untuk menyanyi di acara ‘red carpet’ pertandingan akhir GV2 bersama Zur Eda dan Zarul Umbrella. Bagaimanapun nama saya digugurkan kerana tidak cukup masa dan mereka hanya kekalkan Zur Eda dan Zarul saja," katanya.

Maya akui program itu sangat bagus kerana memberi ruang kepada artis 80-an dan 90-an kembali aktif serta lebih dikenali.

“Saya sentiasa menyokong program ini. Atas undangan Haiza dan memberi sokongan kepadanya serta rakan artis lain, setiap minggu saya hadir menonton GV2 di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

"Namun, dengan apa yang berlaku dan layanan yang diberikan Astro, saya tidak akan datang lagi," katanya.

Sementara itu Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata pihaknya tidak ada sebarang konspirasi berhubung perkara itu.

"Banyak faktor yang kami tetapkan ketika membuat pemilihan. Mya tak menepati kriteria kami. Begitu juga dengan peserta lain yang hadir uji bakat tapi tak terpilih.

"Bagi saya, tak perlu perincikan satu persatu kriteria itu. Mya boleh menyanyi dengan baik cuma kali ini kami menetapkan kuota tertentu yang perlu diberi perhatian," katanya.

Raqim turut menafikan bergelar duta produk faktor Mya tidak terpilih.

"Saya harap Mya tak berkecil hati begitu juga dengan yang lain. Peluang dia masih ada pada musim hadapan. "Pihak kami juga tidak akan senarai hitam Mya meski dia mengeluarkan kenyataan sebegitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 9:45 PM